Netanyahu mahu normalisasi hubungan dengan Indonesia

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan sedang berusaha untuk menandatangani perjanjian normalisasi diplomatik dengan Arab Saudi dan Indonesia sebagai strategi politik menjelang pilihan raya awal yang dijangka berlangsung pada Jun 2026.
Laporan penyiar awam Israel, KAN, pada Sabtu menyebut Netanyahu mahu memuktamadkan sekurang-kurangnya satu perjanjian dengan dua negara utama dunia Islam itu bagi mengukuhkan kedudukannya sebelum rakyat Israel kembali ke peti undi.
Menurut sumber diplomatik yang dipetik oleh i24 News, Netanyahu menilai peluang untuk mencapai persetujuan dengan Riyadh sebagai 'munasabah', manakala kemungkinan untuk berjaya dengan Jakarta dianggap 'rendah'.
Namun, beliau dikatakan akan berpuas hati sekiranya dapat memeterai perjanjian dengan hanya salah satu daripada kedua-duanya.
Penganalisis berpendapat, langkah Netanyahu itu bukan sahaja bertujuan memperbaiki imejnya di peringkat antarabangsa, tetapi juga untuk mempamerkan kejayaan dasar luar Israel menjelang pilihan raya.
Arab Saudi mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam sebagai penjaga dua kota suci Makkah dan Madinah, selain kekuatan ekonominya yang luas. Sementara itu, Indonesia negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia dilihat sebagai kuasa ekonomi baharu yang strategik untuk Israel.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Arab Saudi sebelum ini menegaskan bahawa sebarang bentuk normalisasi dengan Israel hanya boleh berlaku selepas penubuhan negara Palestin yang merdeka.
“Kerajaan Arab Saudi menegaskan pendirian ini tidak boleh dirunding dan tidak tertakluk kepada sebarang kompromi,” menurut kenyataan rasmi kementerian itu pada Februari lalu.
Sementara itu, Indonesia turut mengekalkan pendirian bahawa hubungan diplomatik dengan Israel hanya akan dipertimbangkan sekiranya hak dan kedaulatan rakyat Palestin diiktiraf sepenuhnya. -Agensi
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berusaha menormalisasikan hubungan dengan Arab Saudi dan Indonesia menjelang pilihan raya 2026
- Netanyahu memandang peluang persetujuan dengan Riyadh sebagai munasabah manakala Jakarta rendah
- Netanyahu akan puas jika dapat perjanjian dengan salah satu negara tersebut
- Langkah ini bertujuan memperbaiki imej Israel di peringkat antarabangsa sebelum pilihan raya
- Arab Saudi dan Indonesia menekankan hubungan diplomatik dengan Israel hanya mungkin setelah penyelesaian isu Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

