Pasukan keselamatan guna dron pantau 12 lokasi panas Covid-19

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang -Foto Bernama
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan akan menggunakan dron bagi memantau pergerakan orang ramai di 12 lokasi panas penularan koronavirus (Covid-19).

Dron akan digunakan di kawasan panas seperti Petaling Jaya, Lembah Pantai, Titiwangsa serta beberapa lokasi lain dalam memberi amaran mengenai perintah Perintah Kawalan Pergerakan dan nasihat kepada orang ramai.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penggunaan dron dalam kawalan pasukan keselamatan adalah tindakan efisien dalam membuat kawalan dan pengawasan dengan lebih cepat.

"Dron boleh terbang dengan senyap dan mampu digerakkan ke lokasi yang sukar dimasuki pasukan keselamatan serta digerakkan untuk pemantauan.

"Dron juga akan digerakkan ke kawasan sasaran yang dikenal pasti terdapat sebilangan masyarakat yang masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam ujian penggunaan dron di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta pegawai kanan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Affendi berkata, dengan penggunaan dron, sebarang bentuk arahan dapat disampaikan dengan lebih efisien selain mencapai objektif kerajaan untuk mengurangkan penularan Covid-19.

"Dron adalah aset kerajaan dan dalam pada masa sama kita juga menerima sumbangan daripada pemain industri tempatan untuk kita gunakan lebih banyak lagi dalam memantau pergerakan serta membuat liputan semasa di sesuatu lokasi," katanya.

Artikel Berkaitan: