X

Kindly register in order to view this article
!

Pesawat berlepas esok bawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein-Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Satu penerbangan khas akan berlepas ke Dhaka, Bangladesh, esok untuk membawa pulang kumpulan pertama seramai 270 daripada 367 rakyat Malaysia susulan penularan koronavirus (Covid-19) di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, buat masa ini, kerajaan Bangladesh telah menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.

Setakat jam 12 tengah hari ini, katanya, rakyat Malaysia di negara itu terdiri daripada 219 pelajar; 55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga dan 20 penjawat awam serta ahli keluarga mereka yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Daripada jumlah ini, 270 orang bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kerajaan telah meminta tujuh penjawat awam untuk kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Bagi pihak kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara,” katanya pada sidang akhbar yang disiar secara langsung di akaun Facebooknya.

Turut bersama beliau pada sidang akhbar berkenaan ialah Presiden MIC, Senator Tan Sri S A Vigneswaran.

Hishammuddin berkata, kesemua mereka akan dibawa pulang menggunakan sebuah pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang dibiayai penuh MIC sepertimana enam penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India, sebelum ini.

Katanya, setakat ini, lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan banyak lagi negara telah berjaya pulang ke tanah air, manakala di Iran, 46 yang terkandas telah berjaya dibawa pulang dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara.

Malah, beliau berkata, Wisma Putra juga setakat pagi ini berjaya membawa pulang 696 rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk menerusi kerjasama dengan MIC dan Air Asia.

“Insya-ALLAH, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat,” katanya yang turut mengucapkan penghargaan kepada MIC dan MAS, selain menyambut baik mana-mana pihak untuk turut tampil membantu.

Mengenai rakyat Malaysia di Itali, Hishammuddin berkata, Wisma Putra dan Perwakilan Malaysia di Itali masih sedang berunding dengan Kerajaan Itali bagi memberi kebenaran mendarat khas kepada pesawat negara seterusnya membolehkan urusan pengeluaran rakyat Malaysia dari Itali segera dilaksanakan.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang terdaya untuk mempercepatkan urusan kepulangan semua rakyat Malaysia yang terkandas selain memastikan mereka dijaga rapi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!