11 kes kecemasan diterima libatkan aktiviti pendakian di Pahang

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima 11 kes kecemasan melibatkan peserta aktiviti pendakian di negeri ini dalam tempoh Januari hingga 31 Ogos lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes berlaku di bukit dan empat kes di gunung.
Menurutnya, daripada kes-kes yang dilaporkan itu, 21 mangsa terlibat dengan 17 selamat dan empat cedera.
"Kes melibatkan mangsa cedera berlaku di Gunung Buah Genting dan Gunung Jasa di Cameron Highland serta Bukit Seladang dan Gunung Tahan di Jerantut.
"Mangsa selamat membabitkan insiden sesat ketika pendakian di Hutan Bukit Galing, Hutan Bukit Pelindung dan Bukit Tokki di Kuantan serta Cameron Valley Tea House di Cameron Highlands," katanya.
Mohd Salahuddin berkata, setakat ini belum ada kes kematian melibatkan pendaki dilaporkan di negeri ini.
"Keselamatan ketika mendaki sangat penting justeru beberapa panduan dan tips utama perlu ditekankan termasuk bergerak dan kekal dalam kumpulan sepanjang pendakian.
"Persediaan dan perancangan bersama juga penting dengan mengambil kira keupayaan diri dan kumpulan,pilih laluan sesuai dengan tahap kecergasan dan pengalaman serta tidak memaksa diri melebihi had," katanya.
Tambah beliau, perlu ditekankan aspek komunikasi dan disiplin dan keperluan asas ketika mendaki termasuk bekalan air dan makanan serta pakaian yang sesuai.
"Kerjasama, komunikasi yang berkesan, disiplin, dan sikap saling membantu antara ahli kumpulan kunci utama untuk menjamin keselamatan dan kejayaan setiap pendakian," ujarnya.
Ringkasan AI
- JBPM Pahang menerima 11 kes kecemasan melibatkan pendaki dari Januari hingga 31 Ogos
- Daripada kes tersebut, tujuh berlaku di bukit dan empat di gunung
- Jumlah mangsa terlibat adalah 21 dengan 17 selamat dan empat cedera
- Tidak ada kes kematian dilaporkan
- Pentingnya keselamatan, persediaan, kerjasama, dan komunikasi ketika mendaki
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

