SST atau GST, kedua-duanya tetap tidak popular

Perdebatan tentang sama ada GST atau SST lebih baik terus hangat dan masing-masing ada kelebihan serta kekurangan - Gambar hiasan
Perdebatan tentang sama ada GST atau SST lebih baik terus hangat dan masing-masing ada kelebihan serta kekurangan - Gambar hiasan
A
A
A

Sejarah cukai sebenarnya pun sudah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun yang ke-15 lagi.

Pada ketika itu, telah wujud perundangan yang berkait dengan struktur percukaian dan ditadbir oleh Penghulu Bendahari dibantu oleh Shahbandar yang berfungsi menguatkuasakan peraturan bagi perihal perkastaman dan percukaian, khususnya di kawasan pelabuhan.

Selepas 600 tahun isu-isu cukai terus jadi perkara penting dalam kehidupan kita semua.

Di Malaysia, kerajaan persekutuan berhadapan dengan cabaran apabila mahu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sepatutnya ia dilaksanakan kira-kira14 tahun yang lalu iaitu suku ketiga tahun 2011

Bagaimanapun disebabkan terdapat banyak kritikan hebat daripada pembangkang dan pelbagai pihak pelaksanaannya ditangguhkan.

Tujuan pelaksanaan GST adalah untuk menggantikan Cukai Jualan pada berkadar 10 peratus dan Cukai Perkhidmatan dengan kadar 6 peratus yang sudah dikuatkuasakan di negara ini selama beberapa dekad lamanya.

Pada masa itu, kerajaan meneroka kaedah meningkatkan hasil untuk menampung defisit belanjawan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil daripada syarikat minyak nasional, Petronas.

Semasa pembentangan Belanjawan 2015, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cukai GST berkadar standard sebanyak 6 peratus berkuatkuasa 1 April 2015 dan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dimansuhkan.

Artikel Berkaitan:

Pada waktu itu, segala barang yang dijual dipasaran dikenakan cukai sebanyak 6 peratus, namun ada barang-barang keperluan asas dikecualikan daripada cukai tersebut.

Secara peribadi, saya menyokong usaha kerajaan pada ketika itu untuk melaksanakan GST atas beberapa sebab.

Pertama ialah GST merupakan satu cukai yang telus dan mampu untuk mengatasi ekonomi gelap.

Ini bermakna sukar untuk mana-mana pihak memanipulasi sistem percukaian jika mereka menjalankan aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram, malah ada pakar ekonomi mengatakan GST mampu untuk mengatasi rasuah dan ketirisan dalam negara.

Kedua ialah kerajaan juga mampu mengutip lebih banyak pendapatan berbanding SST dan rekod menunjukkan semasa ia dilaksanakan, sebanyak RM44 bilion dijana menerusi GST.

Ini bermaksud rakyat bayar lebih banyak cukailah dan kerajaan mampu berbelanja untuk tingkatkan perkhidmatan dan pembangunan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018, GST dimansuhkan dan SST dikembalikan semula.

Pendapatan kerajaan menurun sekitar RM21 bilion sahaja. Ini kerana cukai itu hanya dikenakan ke atas pengilang dan pengimport, bukan keseluruhan rantaian bekalan seperti GST.

Malangnya defisit belanjawan yang dihadapi oleh negara terus jadi satu masalah dan beban yang besar. Ini ditambah lagi dengan masalah ekonomi global yang beri kesan kepada negara.

Namun ekonomi perlu terus dikembangkan, perkhidmatan kepada rakyat kena ditingkatkan, golongan rentan perlu terus dilindungi, tetapi persoalannya dari mana wang tersebut datang? Sampai bila hendak bergantung kepada Petronas?

Kalau hendak harapkan kepada pelaburan asing, negara perlu ada tenaga kerja berkualiti serta teknologi yang tinggi.

Untuk tujuan ini, kerajaan kena terlebih dahulu melabur besar untuk pastikan kita bersedia dari segi infrastruktur dan kemahiran.

Tetapi hari ini perdebatan mana lebih baik antara SST dan GST terus berlaku dengan masing-masing mempertahankan kedua-dua cukai ini ada kelebihan dan kekurangan.

Hujah yang kuat untuk SST ialah ia dilakukan secara bersasar dan hanya melibatkan barang import yang banyak dibeli oleh golongan kaya.

Dan pada masa ini, pendapatan rakyat juga belum berada pada tahap yang sesuai untuk melaksanakan GST.

Namun, kesimpulannya kedua-duanya bukanlah satu perkara yang popular untuk rakyat.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!