Gaza berdarah lagi: Hamas dakwa Israel langgar perjanjian gencatan senjata

GAZA - Hamas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sengaja mencipta “alasan lemah” bagi mengelak daripada mematuhi komitmen gencatan senjata yang telah dipersetujui dalam rundingan antarabangsa baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, menyatakan bahawa Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Gaza walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa.
Serangan terkini dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Hamas turut mendakwa bahawa Netanyahu menggunakan isu keselamatan dan tuntutan pelucutan senjata sebagai helah politik untuk menangguhkan pelaksanaan fasa seterusnya dalam perjanjian damai, termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan dan pemulangan baki tawanan.
“Israel tidak berhasrat untuk mematuhi gencatan senjata sepenuhnya. Mereka sengaja mencipta alasan yang tidak berasas untuk meneruskan serangan dan menangguhkan pemulangan tawanan,” kata jurucakap Hamas.
Netanyahu sebelum ini menyatakan bahawa Hamas mesti melucutkan senjata sepenuhnya sebelum sebarang fasa damai diteruskan, sambil memberi amaran bahawa “situasai akan meleteus tanpa kawalan” jika syarat itu tidak dipenuhi.
Keadaan di Gaza kekal genting, dengan ribuan penduduk masih bergelut mendapatkan makanan, air dan rawatan perubatan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa terus mendesak agar bantuan berskala besar dibenarkan masuk tanpa halangan. - Awani
Ringkasan AI
- Hamas menuduh Perdana Menteri Israel mencipta alasan lemah untuk mengelak dari gencatan senjata
- Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza walaupun ada perjanjian gencatan senjata
- Serangan terkini meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak
- Netanyahu guna isu keselamatan untuk tangguhkan pelaksanaan fasa seterusnya dalam perjanjian damai
- Keadaan di Gaza genting, penduduk kesukaran mendapatkan makanan, air dan rawatan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
