‘Ahmad Arif sentiasa pegang tasbih, bawa buku agama’ - Rakan

PASIR GUDANG - “Allahyarham sentiasa pegang tasbih dan membawa buku agama ke mana-mana.”
Demikian luahan Asyrafuddin Arif Amaluddin Arip, 22, yang merupakan rakan sekuliah Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, di Fakulti Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).
Asyrafuddin yang berasal dari Shah Alam rapat dengan arwah sejak pengajian asasi di Universiti Malaya pada tahun 2022.
“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika kelas kuliah pada Khamis lepas. Arwah pernah berkongsi cita-cita untuk menjadi seorang ilmuwan Islam pada masa hadapan.
“Arwah dikenali sebagai seorang yang ceria dan peramah, namun agak pendiam dalam kalangan rakan,” katanya selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gudang pada Sabtu.
Seorang lagi rakannya, Muhammad Faiz Fahmi Abdul Basir, 21, berasal dari Baling, Kedah berkata, Allahyarham mempunyai akhlak yang mulia, sopan dan disenangi semua rakan di universiti.
Tambahnya, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian tersebut dan kelihatan gembira seperti biasa.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Arif Zawir ditemui terbaring di lantai bawah blok kediamannya pada jam 3.15 petang, Jumaat lalu.
Mangsa, yang juga pelajar Sains Gunaan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam UM, kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan UM, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.
Ringkasan AI
- Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, berusia 22 tahun, merupakan pelajar di Fakulti Sains Gunaan Pengajian Islam, Universiti Malaya
- Rakan seuniversiti mengenang beliau sebagai individu yang sentiasa membawa tasbih dan buku agama
- Ahmad Arif dikenali ceria dan peramah, tapi pendiam di kalangan rakan
- Beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang ilmuwan Islam pada masa hadapan
- Ahmad Arif Zawir ditemui terbaring di lantai bawah blok kediamannya dan disahkan meninggal dunia ketika di PPUM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

