Rubyverse lebarkan sayap perniagaan dengan pelancaran Ruby F&B and Event Space

KUALA LUMPUR - Rubyverse Sdn.Bhd. melebarkan sayap perniagaan dalam bidang F&B dengan membuka cawangan terbaharu, Ruby F&B and Event Space di Hotel Seeds Premier, Sri Petaling pada Sabtu lepas.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Dr. Noor Azam Samsudin, pihaknya bersyukur dengan pembukaan cawangan baharu itu yang menunjukkan potensi besar sektor F&B di Malaysia.
Jelasnya, sebelum ini Rubyverse mengoperasikan kafe dan event space di sebuah hotel di Jalan Ampang serta dua lagi di Kota London. Pembukaan Ruby F&B and Event Space pula menjadi simbol bahawa syarikat ini mampu berkembang lebih positif dalam perniagaan.

“Tak kira siapa shareholders, siapa CEO dan siapa pemilik bisnes, apa yang penting dalam dunia perniagaan, bila sesuatu perniagaan mampu berkembang secara positif, ia bermakna kejayaan semua pihak.
"Ruby Verse bersyukur dengan pembukaan cawangan keempat iaitu Ruby F&B and Event Space di hotel ini kerana kejayaan ini hadir dengan sokongan padu daripada semua pemegang taruh, rakan-rakan perniagaan dan kawan-kawan kami. Terima kasih dan tahniah untuk semua,” katanya pada ucapan alu-aluan majlis pelancaran itu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Waris (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, yang menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif memperkukuh ekosistem pelancongan dan hospitaliti negara.
Dalam ucapan perasmian nya, beliau menegaskan bahawa kejayaan sektor pelancongan tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, tetapi juga hasil kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.
“Pelancaran Ruby F&B and Event Space bukan sahaja melambangkan semangat keusahawanan, tetapi membuka ruang luas untuk kolaborasi dengan lebih banyak hotel dan penyedia perkhidmatan hospitaliti,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan seperti Ruby F&B and Event Space memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman pelancong yang menyeluruh, bukan sekadar lokasi menjamu selera, tetapi juga sebagai pusat aktiviti dan acara yang memberi impak ekonomi setempat.
“Projek sebegini membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkasakan usahawan kecil dan sederhana,” tambahnya.
Pelancaran ini juga dilihat bertepatan dengan usaha negara menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menyasarkan kehadiran jutaan pelancong antarabangsa.
Ruby dan Hotel Seeds Premier diharap dapat menampilkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja kaya budaya, tetapi juga menawarkan hospitaliti bertaraf dunia.
Shaharuddin turut menyeru lebih banyak pihak swasta tampil mengamalkan pendekatan kolaboratif bagi memastikan sektor pelancongan Malaysia terus berkembang dan berdaya saing.

Ruby &FB and Event Space di Hotel Seeds Premier mengoperasikan sebuah ballroom, satu kafe dan empat bilik mesyuarat serta seminar untuk kegunaan tetamu dan juga pihak luar yang ingin mengadakan pelbagai majlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

