Solidariti tanpa sempadan: Dari Gaza ke hati Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perjuangan membela nasib rakyat Palestin dizahirkan melalui pengedaran lebih 750 pek makanan kepada gelandangan dan asnaf di sekitar ibu kota pada Sabtu.
Program Gema Gaza Kasih Tanpa Sempadan anjuran Persatuan Jalinan Aspirasi Solusi Amal (Jasa Malaysia) itu bertujuan menyemarakkan semangat solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pengerusinya, Mohammad Syafiee Ambok Dalek berkata, inisiatif itu memupuk nilai kemanusiaan dan keprihatinan masyarakat dalam menyuarakan solidariti terhadap Gaza.
"Konvoi edaran makanan dan beras kepada golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur merupakan simbolik kepada keutuhan kita dalam perjuangan kebebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

"Program ini juga diinspirasikan daripada Surah al-Saff bunyanun marsus (membina benteng kukuh ummah), yang mana kita meneruskan semangat World #QuranHour, menyeru umat agar bersatu atas dasar kasih, perjuangan dan kebenaran," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Program itu turut dijayakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Sahabat Malaysia, Pertubuhan Jejak Jalanan, DMS Motor, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Penggerak Insan.
Menurutnya, penyertaan lebih 150 peserta konvoi Gema Gaza ini turut membawa mesej kemanusiaan sejagat.
Tambah Mohammad Syafiee, sebanyak 250 kampit beras sumbangan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) turut diedarkan ke rumah-rumah asnaf dan miskin sekitar Chow Kit.

Sementara itu, seorang wanita muda yang mahu dikenali sebagai Eika, 22, berkata, program pengagihan makanan itu sedikit sebanyak dapat mengisi perut suami dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun.
Katanya, mereka memilih untuk mencatu makanan setiap hari bagi meneruskan kehidupan dengan menyewa sebuah bilik di Lorong Haji Taib 2 di sini.
"Pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh hanya cukup-cukup makan, tambahan pula perlu membesarkan seorang lagi anak perempuan berusia sembilan bulan.
"Kami juga sentiasa berjimat untuk membeli susu dan lampin pakai buang," katanya sambil mengharapkan bantuan itu diteruskan.
Ringkasan AI
- Perjuangan membela nasib rakyat Palestin ditunjukkan melalui pengedaran lebih 750 pek makanan kepada gelandangan dan asnaf di Kuala Lumpur
- Program Gema Gaza Kasih Tanpa Sempadan diselenggarakan oleh Persatuan Jalinan Aspirasi Solusi Amal (Jasa Malaysia) untuk meningkatkan solidariti terhadap Palestina
- Inisiatif tersebut simbolik kepada solidaritas dalam perjuangan kebebasan Palestin dari rejim Zionis
- Program ini terinspirasi dari Surah al-Saff dan turut melibatkan lebih 150 peserta serta bertujuan menyemarakkan semangat kasih dan kebenaran
- Sebanyak 250 kampit beras juga diedarkan kepada keluarga asnaf dan miskin di sekitar Chow Kit sebagai bagian dari usaha bantuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
