Pendidikan keganasan seksual perlu diperluas, bukan sekadar teori – Putera MIC Kebangsaan

Shatesh.
Shatesh.
A
A
A

SHAH ALAM – Pelajar perlu didedahkan kepada isu keganasan seksual dan akibatnya dari sudut perundangan termasuk hukuman penjara yang bakal dikenakan terhadap pesalah.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr S Shatesh Kumar Sangar berkata, pendidikan seperti itu bukan bertujuan untuk menakutkan kanak-kanak, sebaliknya membentuk modal insan yang peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab.

“Kami menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai lima komponen utama reformasi pendidikan negara secara serta-merta, terutamanya usaha memastikan sekolah menjadi premis yang lebih selamat untuk semua pelajar.

“Salah satu komponen penting yang diumumkan ialah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial yang bertujuan menangani isu keganasan seksual terhadap kanak-kanak melalui program kesedaran dan intervensi khusus yang berpandukan panduan agama, nilai dan budaya.

“Walau bagaimanapun, kami menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan ini tidak boleh sekadar memenuhi syarat formal. Pengalaman terdahulu menunjukkan bahawa subjek Sivik dan Pendidikan Jasmani kerap digunakan untuk mengajar subjek teras lain yang menjejaskan keberkesanan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang serta berbahaya turut diumumkan sebagai antara lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan negara dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis yang lebih selamat untuk semua.

Fadhlina berkata, aspek lain yang diberi penekanan ialah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) serta bimbingan dan sokongan daripada guru (Teacher Care and Support).

Mengulas lanjut, Shatesh berkata, Pendidikan Kesihatan Reproduktif perlu lebih daripada sekadar intervensi selepas kejadian.

Ujarnya, pendekatan itu harus menyediakan pencegahan awal terhadap gangguan seksual, rogol, kehamilan remaja dan gejala tidak sihat lain.

Artikel Berkaitan:

“Topik yang wajib diajar harus merangkumi anatomi dan biologi reproduktif, hubungan interpersonal, konsep persetujuan, serta identiti jantina dan orientasi seksual.

“Keberkesanan pendidikan ini memerlukan pelaksanaan yang teliti, konsisten dan berfokus demi kesejahteraan serta keselamatan pelajar di seluruh negara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pelajar perlu didedahkan mengenai isu keganasan seksual termasuk akibat undang-undang dan hukuman penjara bagi pesalah
  • Pendidikan tersebut bertujuan membentuk modal insan yang peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab, bukan menakutkan kanak-kanak
  • Reformasi pendidikan termasuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial dilakukan untuk menangani isu keganasan seksual terhadap kanak-kanak melalui kesedaran dan intervensi khusus
  • Pendidikan Kesihatan Reproduktif harus meliputi pencegahan awal terhadap gangguan seksual dan merangkumi topik anatomi dan biologi reproduktif, hubungan interpersonal, persetujuan, identiti jantina dan orientasi seksual
  • Keberkesanan pendidikan memerlukan pelaksanaan yang teliti, konsisten dan fokus demi kesejahteraan serta keselamatan pelajar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!