[VIDEO] 'Pak, baliklah....kami risau'

A
A
A

BALING – “Kami rayu pak baliklah... anak cucu pakat rindu. Hari ini hari Jumaat, seminggu dah pak tak balik. Makan pak macam mana, minum, mandi... kami risau sebab sakit pasang surut pak tu.”

Demikian luahan pilu Norlaili Ahmad, 63, yang tidak mengetahui keadaan bapa mentuanya, Abd Razak Abd Rahman, 88, selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

Lokasi di mana Baharudin ternampak kelibat seorang warga emas disyaki Abd Razak.
Lokasi di mana Baharudin ternampak kelibat seorang warga emas disyaki Abd Razak.

“Sepatutnya pak ada janji temu dengan doktor untuk rawatan penyakit pasang surut yang dihidapinya, sehari selepas kehilangannya. Kami tak tahu apa yang berlaku pada dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambong Batu 7, Jalan Kroh di sini pada Jumaat.

Norlaili.
Norlaili.

Sementara itu, suami Norlaili, Mohamad, 64, yang juga anak sulung Abd Razak, berkata, operasi pencarian dijalankan setiap hari dengan bantuan pelbagai pihak termasuk ikhtiar melalui bacaan Yasin, solat hajat dan kaedah tradisional.

“Puas kami mencarinya di merata tempat, sungai, hutan, kebun dan sebagainya. Orang kampung pun tak kira siang malam, pagi petang, semuanya bertungkus lumus mencarinya tetapi gagal mengesan di mana pak berada.

Artikel Berkaitan:

“Bila nak tidur, teringat... di manalah dia? Basahkah, sejukkah? Cuaca pun tak menentu, hujan pula... risau sangat keadaan dia,” katanya.

Mohamad bimbang keadaan bapanya yang tidak pulang ke rumah sejak keluar pada Sabtu lalu.
Mohamad bimbang keadaan bapanya yang tidak pulang ke rumah sejak keluar pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, kelibat seorang lelaki tua yang berjalan kaki melintasi Kampung Simpang Pulai, Pengkalan Hulu, Perak, baru-baru ini dipercayai kemungkinan besar adalah Abd Razak.

Baharudin Hamid, 78, saksi kejadian berkata, beliau ternampak seorang warga emas bertongkat sedang mencangkung di seberang jalan ketika mahu keluar rumah pada petang Sabtu lalu.

Ketika itu, katanya, berita kehilangan Abd Razak dari Kampung Batu 7, Jalan Kroh, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya masih belum tersebar.

“Selepas saya hantar tong gas kepada pelanggan dan patah balik kira-kira 10 minit kemudian, kelibat itu sudah hilang. Rasa musykil juga sebab nampak dia jalan perlahan, tapi cepat sangat hilang.

“Saya tanya peniaga goreng pisang sama ada dia nampak warga emas tu melintas simpang lampu isyarat ke pekan Pengkalan Hulu, tapi dia pun tak nampak. Saya rasa mungkin dia masuk ke kawasan kampung di belakang sini,” katanya.

Menurut Baharudin lagi, seorang peniaga baju di kawasan berhampiran turut menyedari kelibat lelaki tersebut.

“Dia pun nampak warga emas tu jalan kaki di seberang jalan, tapi katanya mulut dia ‘terkunci’. Selalunya dia akan panggil sesiapa yang lalu, bagi minum dan tanya dari mana. Tapi bila dia toleh balik, lelaki tu dah tak ada… tak tahu ke mana pergi,” katanya.

Setelah berita kehilangan tersebar, penduduk kampung dan sukarelawan terus membantu dalam pencarian termasuk di kawasan perkampungan di sempadan negeri Perak dan Kedah, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan warga emas itu diminta menghubungi Norlaili di talian 013-443 0339 atau Mohamad di talian 013-363 7339.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Abd Razak, yang mempunyai masalah kurang daya ingatan, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Ahmad Salimi Md Ali berkata, warga emas berkenaan dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi.

Ringkasan AI

  • Abd Razak Abd Rahman, 88, dilaporkan hilang tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu
  • Norlaili Ahmad, 63, risau tentang keadaan bapa mentuanya yang mempunyai penyakit pasang surut
  • Operasi pencarian dilakukan setiap hari dengan bantuan pelbagai pihak termasuk kaedah tradisional
  • Kelibat seorang lelaki tua dipercayai Abd Razak dilihat melintasi Kampung Simpang Pulai, Perak
  • Orang ramai dengan maklumat tentang kehilangan diminta menghubungi Norlaili atau Mohamad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!