Dadah RM88,000 dirampas, dua sindiket aktif lumpuh

IPOH - Polis Perak berjaya melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah aktif melibatkan rampasan bernilai RM88,000 dalam Op Tapis Khas yang diadakan selama tiga hari, serentak di seluruh negeri bermula Isnin lalu.
Operasi besar-besaran yang melibatkan 270 anggota dan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu berjaya menahan 413 individu termasuk 14 wanita.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam kes pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Taiping menumpaskan satu sindiket pengedaran ganja aktif sejak Februari lalu dengan penahanan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 45 tahun.
Menurutnya, suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Damai, Simpang, manakala suspek kedua diberkas di Kampung Pinang, Kamunting, hasil susulan siasatan.
"Pemeriksaan menemui 13.6 kilogram ganja dengan nilai rampasan sekitar RM37,700 dipercayai untuk diedarkan di pasaran utara Perak.
"Rampasan itu mampu dibekalkan kepada lebih 9,000 penagih menjadikan sindiket ini antara pengedar utama di kawasan tersebut," jelasnya.
Dalam operasi sama di Batu Gajah, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di sebuah pondok usang di kawasan lombong Kampung Ara Payung.
Mohammad Azlin berkata, pemeriksaan menemui 2.3 kilogram heroin dan sejumlah kecil methamphetamine dengan nilai rampasan RM22,917 dipercayai untuk pasaran sekitar Batu Gajah.

"Semua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tumpuan operasi kali ini diberikan kepada sarang penagih dan pengedar di kawasan Felda, Felcra, ladang swasta, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), flat, jeti nelayan serta kawasan berisiko tinggi.
Katanya, daripada 413 individu yang ditahan, 53 disiasat kerana mengedar dadah, 128 memiliki dadah, manakala 224 penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Tiga individu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, manakala lima lagi adalah individu dikehendaki," katanya.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM87,660.89 membabitkan pelbagai jenis bahan terlarang termasuk 2.6 kilogram heroin, 13.7 kilogram ganja, 92 gram syabu, ketamin, pil Erimin 5, Yaba serta daun dan air ketum.
"Polis turut menyita sebuah kereta, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM24,871 hasil kegiatan jenayah dadah," katanya.
Ringkasan AI
- Polis Perak melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM88,000 dalam Op Tapis Khas selama tiga hari
- Operasi itu melibatkan 270 anggota polis JSJN Perak dan AADK, menahan 413 individu termasuk 14 wanita
- Dua lelaki tempatan ditahan berkaitan dengan sindiket pengedaran ganja sejak Februari dengan 13.6 kilogram ganja bernilai kira-kira RM37,700
- Seorang lelaki 43 tahun ditahan di Batu Gajah dengan rampasan 2.3 kilogram heroin dan methamphetamine bernilai RM22,917
- Operasi memberi tumpuan kepada sarang penagih dan pengedar di kawasan Felda, Felcra dan lain-lain, dengan keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM87,660.89
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

