Kerajaan sambut baik usaha Kedah perkasa PKS

Mahfuz (tengah) bersama Majikan-Majikan PKS Zon Utara selepas majlis dialog bersama beliau di sebuah hotel petang tadi.
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Sumber Manusia menyambut baik usaha Kerajaan Kedah yang mahu memajukan perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam usaha memastikan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 15 peratus dalam setahun di negeri tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, salah satu strategi pembangunan sektor utama adalah memberi penekanan pembangunan aktiviti PKS yang terancang, moden dan cekap di daerah yang memerlukan.

"Saya menyambut baik usaha Kedah untuk memajukan PKS di negeri ini di mana pengusaha-pengusaha digalakkan untuk mempelbagaikan asas ekonomi dan pada masa sama mengalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi berdaya saing.

"Selain itu, golongan Bumiputera juga adalah disarankan untuk menyertai aktiviti perdagangan dan perindustrian serta mengalakkan usahawan tempatan berhijrah ke konsep PKS moden," katanya yang ditemui media selepas program sesi 'teh tarik' bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Majikan-Majikan PKS Zon Utara di sebuah hotel, petang tadi.

Menurutnya, usaha untuk meningkatkan modal insan di peringkat negeri ini juga mendapat sokongan penuh pihaknya agar dapat menarik pembabitan golongan muda untuk keperluan masa hadapan.

"Perancangan jelas bagi pembangunan modal insan perlu dibuat memandangkan majikan PKS menyediakan peluang pekerjaan yang paling tinggi di kalangan semua industri di negara ini.

"Di Kedah, institusi yang menyediakan latihan dan kemahiran terkini dalam bidang pertanian terutamanya padi diwujudkan melalui usahasama antara Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Jabatan Pertanian," katanya.

Mahfuz berkata, penyediaan latihan tersebut mampu memastikan modal insan yang terlibat akan lebih produktif dan cekap serta bersedia membantu meningkatkan penghasilan keluaran padi yang bermutu.

"Usaha ini mampu mengalakkan para petani menggunakan teknologi terkini dalam mengusahakan tanaman padi agar membuahkan hasil padi tempatan bernilai lebih tinggi selain berjaya meningkatkan produktiviti," katanya.

Tambahnya, Kementerian Sumber Manusia juga sentiasa memberikan sokongan yang diperlukan dalam mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing menerusi kerjasama dengan beberapa jabatan dan agensi dari pelbagai kementerian di Putrajaya dan Kedah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia