Warga Thailand dicekup kutip derma tanpa kebenaran kali kedua

JOHOR BAHRU – Taktik seorang lelaki warga Thailand mengutip derma atas nama kebajikan Islam tanpa kebenaran terbongkar apabila dia sekali lagi dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di tapak pasar malam Flat Sri Stulang.
Dalam operasi baru-baru ini, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan ketika meminta sumbangan kononnya untuk sebuah sekolah tahfiz di selatan Thailand.
Menurut sumber JAINJ, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran sah daripada Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) untuk mengutip derma. Penguatkuasa turut merampas sebuah tabung beserta wang tunai berjumlah RM167.
"Sebelum tangkapan dibuat, penguatkuasa sempat merakam gambar seorang kanak-kanak lelaki memasukkan wang ke dalam tabung yang dipegang suspek.
"Siasatan lanjut mendapati lelaki itu menyewa sebuah bilik di Johor Bahru dengan kadar RM350 sebulan dan aktif bergerak ke pasar malam untuk mengutip derma.
"Nama sekolah tahfiz yang tertera pada tabung didapati palsu dan hasil kutipan dipercayai tidak disalurkan kepada mana-mana institusi sah," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, lelaki sama pernah ditahan pada Januari 2024 di tapak pasar malam Taman Tampoi Utama atas kesalahan serupa.
Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, mengingatkan penguat kuasa agama supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atas nama kebajikan Islam.
“Kebenaran memungut derma boleh dipohon melalui Pejabat Kadi Daerah dan beberapa syarat perlu dipenuhi untuk elak penipuan serta salah guna wang sumbangan,” katanya dalam kenyataan pada Julai lalu.
JAINJ turut menasihatkan pemilik kedai makan, warung dan kedai runcit supaya tidak membenarkan sebarang tabung derma diletakkan tanpa kebenaran. Sekiranya ada pihak mahu meletakkan tabung, mereka diminta merujuk kepada Pejabat Kadi Daerah.
Dalam tindakan berasingan, sebuah warung terkenal di Sungai Abong, Muar turut diberi amaran selepas didapati membenarkan tabung derma tanpa kebenaran.
Sementara itu, lelaki berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Syariah Johor Bahru atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor yang memperuntukkan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan dijatuhkan denda keseluruhan RM5,000 namun lelaki ini gagal membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara tujuh bulan 14 hari di Penjara Kluang.
Ringkasan AI
- Lelaki warga Thailand ditahan kerana mengutip derma atas nama kebajikan Islam tanpa kebenaran di Johor Bahru
- Ditangkap semasa meminta sumbangan kononnya untuk sekolah tahfiz di Thailand tanpa kebenaran dari Majlis Agama Islam Johor
- Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor merampas tabung dan wang tunai RM167
- Siasatan mendapati lelaki itu menyewa bilik di Johor Bahru dan aktif mengutip derma di pasar malam dengan menggunakan nama sekolah tahfiz palsu
- Lelaki berkenaan dihukum penjara kerana gagal bayar denda RM5,000 atas dua pertuduhan mengutip derma tanpa kebenaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

