Semua premis di Pulau Pinang dihadkan operasi bermula esok: KM

Semua premis dihadkan waktu operasi iaitu bermula jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja bermula esok.
Semua premis dihadkan waktu operasi iaitu bermula jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja bermula esok.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua premis perniagaan termasuk pasar raya dan stesen minyak di negeri ini akan dihadkan waktu operasi iaitu bermula jam 6 pagi hingga 8 malam bermula esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Pulau Pinang.

Menurutnya, pihaknya akan menambah usaha dari semasa ke semasa untuk memastikan penularan wabak tersebut dapat diputuskan dalam masa terdekat ini.

"Kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan untuk lapan hari lagi. Bagi mengetatkan lagi pelaksanaan perintah itu di negeri ini, kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan dua langkah tambahan iaitu semua premis perniagaan hanya dibenarkan untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam setiap hari berkuat kuasa esok pada 25 Mac.

"Tempoh masa tersebut diputuskan dengan mengikut kesesuaian rutin operasi premis Pulau Pinang.

"Langkah kedua pula adalah perkhidmatan bas percuma tajaan kerajaan negeri, CAT akan dihentikan selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya pada sidang akhbar melalui Facebook Live di Komtar sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, sehingga tengah hari ini, jumlah kes positif Covid-19 di negeri ini adalah 66 kes dengan satu kematian.

"66 kes itu, jika dipecahkan mengikut daerah adalah 19 kes bagi daerah Timur Laut; Barat Daya (tujuh); Seberang Perai Utara (sembilan); Seberang Perai Tengah (22) dan sembilan kes di Seberang Perai Selatan. Mengikut laporan pihak berkuasa tempatan (PBT), pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini mencecah 90 peratus.

"Bagaimanapun, pertambahan kes yang dicatatkan tidak menyenangkan dan perlu diberikan perhatian serius. Saya memohon semua rakyat Pulau Pinang terus komited dan berkorban demi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri telah membuat tempahan enam juta penutup muka yang akan diberikan kepada barisan hadapan (frontliners) dan golongan masyarakat yang memerlukan.

"Setelah membuat carian dan rundingan dengan pembekal, kerajaan negeri telah membuat tempahan sebanyak 6 juta penutup muka dengan memberi keutamaan kepada keperluan barisan hadapan (frontliners) dan golongan masyarakat yang memerlukan.

"Saya akan memberikan makluman dari semasa ke semasa berhubung bekalan berkenaan termasuk bahan keperluan lain seperti termometer, sanitizer dan sebagainya.

"Hari ini, kita membekalkan beribu-ribu sanitizer dan termometer infra merah kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan bagi memperkasakan lagi petugas barisan hadapan kerajaan negeri," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi bantuan khas pembekalan makanan kepada orang kurang upaya dan warga emas yang tinggal bersendirian.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang dijangka akan mendapat RM10 juta daripada RM130 juta peruntukan yang disalurkan kerajaan Pusat kepada setiap negeri bagi menangani Covid-19.

"Kita akan membelanjakan wang itu untuk memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Ia bagi menambah baik perkhidmatan kepada mereka yang terkesan dengan wabak ini.

"Apa sahaja bantuan segera yang diperlukan oleh JKNPP, kita akan bantu dan sokong. Kita akan lihat mungkin akan sediakan kemudahan seperti bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebagainya," katanya.