Antara 'positif palsu' dan realiti kehidupan

Dari luaran nampak semua sempurna. Tapi sebenarnya mereka sedang bergelut dengan diri sendiri. Gambar hiasan 123rf.
Dari luaran nampak semua sempurna. Tapi sebenarnya mereka sedang bergelut dengan diri sendiri. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

MERAK Jalanan tertarik dengan satu posting di sebuah page kesihatan dalam Facebook mengenai burnout atau keadaan keletihan emosi, mental dan fizikal yang melampau.

Di sekeliling Merak Jalanan pun ramai yang melalui fasa itu. Tapi Merak Jalanan perasan, ada yang pandai sorok dan berpura-pura okey.

Dari luaran nampak semua sempurna. Tapi sebenarnya mereka sedang bergelut dengan diri sendiri. Di tempat kerja, senyum lebar walau mata sembap. Di media sosial, kongsi kata semangat walau hati sedang parah.

Entah sejak bila kita mula percaya bahawa menunjukkan kesedihan itu satu kelemahan. Sedangkan manusia bukan mesin, ada waktu kuat ada waktu rebah.

Tapi dunia sekarang tak beri ruang untuk lemah. Semua kena nampak produktif, ceria, berjaya. Kalau tunjuk letih nanti dikata manja. Kalau diam dikata sombong.

Yang lebih menakutkan, budaya 'positif palsu' ini menular. Kita berlumba menayang bahagia, bukan mencipta bahagia. Media sosial jadi pentas lakonan, filter menutup parut, senyuman menutup duka. Sesiapa yang tak mampu ikut rentak, mula rasa rendah diri dan terpinggir.

Merak Jalanan bukan nak suruh semua orang muram, tapi belajarlah jujur dengan diri. Tak salah rehat, tak salah mengaku tak okey. Kadang-kadang, langkah paling berani ialah berhenti sekejap dan tenangkan hati.

Curi waktu seketika untuk merehatkan jiwa dan minda, keluar dari masalah duniawi. Cari keberkatan hidup dan jangan lupa bekalan di 'sana' nanti. Sibuk dengan hal dunia dan kerja hingga lupa sentuh rohani jiwa. Rohani jiwa ini adalah terapi untuk memulihkan diri.

Yang penting, jangan biar diri hanyut dalam kepura-puraan. Hadapi kenyataan dan realiti bahawa hidup ini bukanlah tentang menunjukkan siapa kuat, siapa paling hebat, sebaliknya menikmati kehidupan bahagia seadanya. Ingatlah, dunia ini tetap berputar walau kita berhenti sebentar.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!