SLD: Antara niat baik dan realiti buruk?

PENGUATKUASAAN wajib Peranti Had Laju (SLD) bermula Oktober ini patut dipuji dan memperlihatkan keseriusan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan risiko berulangnya tragedi kemalangan maut membabitkan bas ekspres dan kenderaan berat.
Tindakan itu perlu disegerakan susulan kemalangan bas persiaran yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu dan nahas kenderaan yang menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, pada Mei 2025.
Namun, dasar yang baik tidak semestinya membawa kesan jika gagal dilaksanakan dengan telus dan konsisten.
Malah, SLD bukan perkara baharu di peringkat global kerana telah lama digunakan dan diwajibkan ke atas kenderaan berat serta pengangkutan awam di Eropah, Jepun dan Australia sejak lebih tiga dekad lalu.
Sebaliknya, di Malaysia, usaha ini hanya kini mula digerakkan tetapi masih dibelenggu masalah lapuk termasuk cabaran lama seperti pematuhan yang longgar, penguatkuasaan tidak menyeluruh dan kelemahan dalam sistem audit.
Jika peranti ini boleh dimanipulasi atau disahkan melalui sijil palsu, maka SLD hanya tinggal nama tanpa fungsi.
Kenderaan baharu yang dilengkapi unit kawalan elektronik lebih mudah dipasangkan SLD. Namun, masalah utama di Malaysia ialah kewujudan ribuan lori dan bas lama yang kekal beroperasi tanpa sistem sokongan moden, sekali gus menjadi cabaran terbesar dalam fasa pengubahsuaian (retrofit) menjelang 2026.
Kos pemasangan, kekurangan bengkel bertauliah dan kelemahan pengawasan boleh membuka ruang kepada ketirisan. Tanpa insentif yang wajar, sesetengah operator mungkin memilih jalan pintas dan ini amat berbahaya.
SLD bukan sekadar alat untuk menekan brek apabila kenderaan melebihi had laju. Ia adalah simbol kepada budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab. Namun, simbol ini hanya bermakna sekiranya dilaksanakan secara menyeluruh, dipantau secara sistematik dan disokong melalui pendidikan serta penguatkuasaan berkesan.
Paling penting, data SLD perlu digunakan untuk menganalisis corak pemanduan, mengenal pasti risiko dan memberi tekanan kepada syarikat pengangkutan yang cuai.
Dalam soal nyawa manusia, tiada ruang untuk kompromi. SLD adalah ujian terhadap keikhlasan negara membina jalan raya yang benar-benar selamat bukan sekadar melalui papan tanda dan kempen kesedaran, tetapi melalui sistem yang mampu menghalang tragedi sebelum ia berlaku.
Jika gagal, ia hanya akan menjadi satu lagi dasar cantik di atas kertas yang tidak mampu menyelamatkan sesiapa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!