Buat laporan rasmi jika berlaku ketidakpatuhan penjualan petrol bersubsidi

SEBERANG JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyeru pengguna agar membuat laporan rasmi sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan melibatkan penjualan petrol bersubsidi BUDI95 di mana-mana stesen minyak di negeri ini.
Pengarahnya, RS Jegan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan isu penjualan petrol bersubsidi yang tular di media sosial kononnya pengguna menerima jumlah minyak yang kurang berbanding bayaran dibuat.
“Setakat sekarang, kita tidak menerima sebarang aduan kecuali pada hari pertama, namun semua kekeliruan telah diperbetulkan segera.
“Selepas itu, tiada aduan diterima daripada pengguna sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di AEON Big Seberang Jaya, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, tular di media sosial keluhan beberapa pengguna yang mempertikaikan pelaksanaan penjualan bahan api bersubsidi di stesen minyak, kononnya menerima jumlah minyak yang kurang berbanding sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Jegan menjelaskan bahawa mekanisme penetapan harga dan jumlah liter minyak tidak mudah diubah atau dimanipulasi oleh pihak stesen minyak, malah sistem kalibrasi pam sentiasa disahkan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan sebenarnya hanya persepsi kerana sistem tersebut sukar diubah sesuka hati oleh pihak stesen minyak.
“Jika benar ada stesen minyak menipu pengguna, sudah pasti kami menerima aduan rasmi dengan bukti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jegan turut menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan serta mengemukakan laporan kepada KPDN bersama bukti transaksi atau resit sekiranya mendapati sebarang penyelewengan berlaku.
“Kami sentiasa memantau di semua stesen minyak bagi memastikan pematuhan terhadap penjualan petrol bersubsidi BUDI95 berjalan lancar.
“Jika ada keraguan, pengguna boleh datang terus ke KPDN atau lapor melalui saluran rasmi kami,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai SHMMP Deepavali 2025, Jegan berkata seramai 137 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
Beliau berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
“Mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Ringkasan AI
- KPDN Pulau Pinang menyeru pengguna melapor ketidakpatuhan penjualan petrol bersubsidi BUDI95
- Sebelum ini, keluhan tentang jumlah minyak yang kurang dibanding pembayaran menjadi viral di media sosial
- Jegan menyatakan sistem kalibrasi pam sukar diubah oleh stesen minyak dan sentiasa disahkan oleh pihak berkuasa
- Pengguna disarankan untuk tidak terpengaruh oleh maklumat tidak sah dan melapor kepada KPDN dengan bukti
- Pihak KPDN sentiasa memantau pematuhan penjualan petrol bersubsidi dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar peraturan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
