Hubungan perdagangan Pulau Pinang-AS terus kukuh

GEORGE TOWN – Hubungan perdagangan antara Pulau Pinang dan Amerika Syarikat terus menunjukkan pengukuhan apabila negeri itu menyumbang sebanyak 79 peratus daripada keseluruhan eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke negara berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi Januari hingga Ogos tahun ini, nilai eksport Pulau Pinang ke Amerika Syarikat mencecah RM79 bilion membuktikan kebergantungan tinggi sektor E&E negara kepada kekuatan industri negeri itu.
“Daripada jumlah keseluruhan eksport E&E Malaysia ke Amerika Syarikat bernilai RM76 bilion, Pulau Pinang menyumbang sebanyak 79 peratus.
"Ini membuktikan betapa penting dan kukuhnya hubungan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika menghadiri Amcham Penang Dialogue 2025: Recalibrating Malaysia di sini pada Khamis.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 120 syarikat Amerika beroperasi di Pulau Pinang, bukan sahaja menyumbang daripada segi modal dan peluang pekerjaan malah dalam aspek teknologi, inovasi serta pembangunan komuniti.
“Hubungan ini telah membantu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama semikonduktor dan teknologi tinggi di rantau ini,” katanya.
Kon Yeow menambah, walaupun kejayaan itu membanggakan, kerajaan negeri tidak berpeluk tubuh sebaliknya terus melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
"Antaranya termasuk pelancaran Penang Silicon Design @5KM+ tahun lalu, yang menjadi langkah berani untuk mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam bidang reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.
“Inisiatif ini menggabungkan kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan industri bagi membentuk ekosistem semikonduktor yang lengkap dari hujung ke hujung,” ujarnya.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan berteraskan tiga komponen utama iaitu Penang IC Design and Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Penang Silicon Research and Incubation Space.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif itu kini menunjukkan hasil memberangsangkan apabila bangunan GBS By The Sea menempatkan kemudahan kejuruteraan baharu AMD, manakala dua syarikat tempatan, Silicon dan SkyeChip sedang membangunkan teknologi cip proprietari mereka sendiri.
“Jika semuanya berjalan lancar, tidak lama lagi kita akan dapat meraikan kelahiran cip pertama Malaysia yang benar-benar ‘Made by Malaysia’, direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan minggu lalu, yang memperuntukkan RM550 juta melalui Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk memperkukuh ekosistem industri serta RM500 juta pinjaman daripada Bank Pembangunan bagi menyokong R&D dan reka bentuk bernilai tinggi.
“Pengenalan SemiconStart, inkubator bagi syarikat pemula semikonduktor amat bertepatan kerana ia menyokong Dasar Semikonduktor Nasional yang bertujuan membangunkan 110 juara tempatan dengan 13 daripadanya telah dikenal pasti.
"Sinergi antara visi nasional dan asas yang dibina di Pulau Pinang akan membantu Malaysia naik ke rantaian nilai lebih tinggi, selain mengekalkan kelestarian sebagai keutamaan utama melalui Program Industri Hijau Pulau Pinang.
“Menerusi program ini, kami sedang membangunkan asas industri yang bersedia untuk masa depan yang menyelaraskan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Ringkasan AI
- Hubungan perdagangan antara Pulau Pinang dan Amerika Syarikat telah meningkat dengan 79 peratus daripada keseluruhan eksport elektrik dan elektronik Malaysia ke negara berkenaan
- Pulau Pinang menyumbang nilai eksport RM79 bilion ke Amerika Syarikat dari Januari hingga Ogos
- Kira-kira 120 syarikat Amerika beroperasi di Pulau Pinang
- Pelancaran Penang Silicon Design @5KM+ sebagai inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi
- Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukkan RM550 juta untuk memperkukuh ekosistem industri dan RM500 juta pinjaman untuk menyokong R&D dan reka bentuk bernilai tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

