Apabila tiba masa melepaskan...

MUSIM kemasukan pelajar ke matrikulasi dan universiti sentiasa membawa suasana istimewa. Di kampus, wajah-wajah baharu sibuk mendaftar, mencari kolej kediaman dan berkenalan dengan rakan baharu. Namun di sebalik senyuman teruja itu, ada hati sedang belajar tiba masanya untuk melepaskan.
Merak Jalanan percaya, saat paling sukar bukanlah ketika anak menerima surat tawaran tetapi apabila ibu bapa perlu meninggalkan mereka di kampus buat kali pertama. Ada yang tersenyum bangga, tidak kurang juga diam menyeka air mata sebaik kereta mula bergerak meninggalkan kawasan universiti.
Di sebalik kejayaan itu tersimpan kisah yang jarang diceritakan. Ada ibu bapa yang berhempas pulas mencari wang pendaftaran, berjimat demi membeli keperluan anak dan sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan impian mereka menjadi kenyataan.
Pengorbanan itu mungkin tidak tercatat dalam surat tawaran tetapi terpahat kemas di setiap perjalanan hidup si anak. Bagi pelajar pula, inilah permulaan kepada perjalanan baharu yang menuntut mereka belajar berdikari, mengurus masa dan membuat keputusan sendiri.
Tiada lagi ibu mengejutkan tidur atau ayah yang sentiasa berada di sisi. Segala cabaran dan pengalaman bakal ditempuhi menjadi sebahagian daripada proses mematangkan diri.
Hakikatnya, melepaskan bukan bererti kehilangan. Sebaliknya, ia tanda kasih sayang yang membenarkan anak-anak terbang lebih tinggi mengejar cita-cita dan membina masa depan mereka.
Kepada ibu bapa yang baru menghantar anak ke kampus, tahniah. Air mata yang gugur hari ini adalah saksi sebuah pengorbanan yang akhirnya membuahkan harapan. Semoga setiap langkah anak-anak di bumi ilmu menjadi kebanggaan keluarga dan manfaat kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
