Malaysia perkukuh kerjasama strategik dengan Kemboja

Ahmad Zahid (kiri) ketika bertemu Hun Manet (kanan).
Ahmad Zahid (kiri) ketika bertemu Hun Manet (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia dan Kemboja bersetuju memperkukuh hubungan dua hala melalui beberapa persetujuan baharu yang melibatkan kerjasama dalam bidang diplomasi serantau, kesihatan, pensijilan halal serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kemboja menzahirkan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menangani isu antara Kemboja dan Thailand ketika pertemuan dengan Presiden Senat, Hun Sen dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

“Antara perkara penting ialah peranan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menyelesaikan dan menyantuni permasalahan antara Kemboja dan Thailand.

“Mereka yakin dengan adanya pasukan Pemerhati Interim (IOT), sebahagian besar permasalahan itu dapat diselesaikan dan berharap sidang kemuncak ASEAN yang akan datang dapat mencapai persetujuan bersama,” katanya selepas lawatan rasmi ke Kemboja pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut menekankan bukan hanya pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, tetapi juga menawarkan kerjasama dalam sektor kesihatan, khususnya rawatan kepakaran.

“Kemudahan perubatan kepakaran di Malaysia telah banyak membantu pesakit dari Thailand, terutamanya yang memerlukan rawatan khusus.

“Justeru, Kemboja bersetuju pada dasarnya kerana kos rawatan di Malaysia relatif lebih rendah berbanding beberapa negara lain,” jelas beliau.

Tambah Ahmad Zahid, Malaysia juga menekankan kepentingan pensijilan halal yang masih belum dapat diselaraskan antara Persatuan Muslim Kemboja dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ia akan dapat diselesaikan selepas kerja-kerja pengauditan dijalankan oleh Jakim dan syarat-syarat yang menjadi prosedur operasi standard (SOP) dipenuhi.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini bertujuan mewujudkan ASEAN Halal Council bagi membantu pemasaran produk halal negara-negara ASEAN ke peringkat global dengan menggunakan SOP yang seragam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia turut menawarkan bantuan dalam bidang TVET bagi melatih tenaga pengajar dari Kemboja.

Jelasnya, program training for trainers akan dilaksanakan melalui penghantaran pelajar, pensyarah dan tenaga pengajar ke Malaysia untuk mendapatkan pendedahan dalam bidang kepakaran.

“Kita bersedia membantu jika mereka benar-benar memerlukan kerana Kemboja kini menerima banyak pelaburan asing daripada syarikat multinasional.

“Mereka sangat memerlukan tenaga mahir untuk diserapkan dalam sektor industri dan firma-firma berteknologi tinggi,” ujarnya.

Ahmad Zahid menegaskan, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Kemboja dalam bidang TVET berteknologi tinggi bagi mempercepatkan perkembangan ekonomi kedua-dua negara.

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Kemboja bersetuju memperkukuh hubungan melalui kerjasama dalam diplomasi serantau, kesihatan, pensijilan halal, dan pendidikan TVET
  • Kemboja yakin dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menyelesaikan isu dengan Thailand
  • Malaysia menekankan kerjasama dalam sektor kesihatan dan menawarkan rawatan kepakaran dengan kos yang lebih rendah
  • Pensijilan halal antara Persatuan Muslim Kemboja dan Jakim akan diselesaikan untuk mencapai SOP ASEAN Halal Council
  • Malaysia menawarkan bantuan dalam TVET untuk melatih tenaga pengajar Kemboja melalui program 'training for trainers'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!