Pemecatan pemimpin bahagian ibarat ‘sirami api dengan petrol’ – Bersatu Selangor

SHAH ALAM – Tindakan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat empat pemimpin bahagian termasuk seorang ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta menggantung seorang lagi ahli Parlimen disifatkan seperti menyimbah petrol ke dalam api yang sedang marak.
Ketua Biro Penerangan Bersatu Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, keputusan itu bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah, malah berpotensi memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan dalam parti ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah serta perbahasan Belanjawan.
Menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah usaha terancang untuk membunuh semangat demokrasi dan menyekat kebebasan bersuara dalam parti.
“Ia memberikan gambaran pendekatan autoritarian yang tidak selaras dengan prinsip keberkatan, keberagamaan dan semangat musyawarah yang seharusnya menjadi asas perjuangan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Mohamad Shafiq berkata, dalam mana-mana parti politik, kewujudan pelbagai kem adalah perkara biasa, termasuk ‘Team A’, ‘Team B’ atau ‘Team C’ yang masing-masing mempunyai penyokong sendiri.
“Tidak pernah dalam sejarah politik tanah air kita mendengar mana-mana parti mengambil tindakan memecat ahlinya hanya kerana perbezaan sokongan atau pendirian terhadap mana-mana kem,” ujarnya.
Beliau menegaskan, langkah itu boleh menjadi precedent berbahaya pada masa hadapan kerana sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pihak berkuasa dalam parti berisiko disingkirkan.
“Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan secara harmoni dan damai, parti Bersatu mungkin akan berdepan krisis perpecahan dalaman yang amat dahsyat dan berpotensi menghancurkan institusi parti,” katanya.
Mohamad Shafiq turut menjangkakan jika isu berkenaan terus berlarutan tanpa penyelesaian berhemah, ia boleh menggugat kelangsungan serta kestabilan parti.
Ringkasan AI
- Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia memecat empat pemimpin bahagian dan menggantung seorang Ahli Parlimen Tindakan tersebut dikritik sebagai menyimbah petrol ke dalam api yang sedang marak dalam parti Dianggap sebagai usaha untuk membunuh semangat demokrasi dan kebebasan bersuara Adanya perbezaan pendapat dalam parti adalah perkara biasa dan tindakan memecat ahli hanya kerana perbezaan sokongan adalah tidak pernah berlaku sebelum ini Berpotensi menyebabkan krisis perpecahan dalaman yang amat dahsyat serta menggugat kestabilan parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

