Selangor nafi politikkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan pihaknya mempolitikkan isu peruntukan RM30,000 Pakej Selangor Prihatin untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Datuk Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Rizam Ismail jelas keliru apabila menuduh kerajaan negeri bermain politik sempit dan menghalang peruntukan RM30,000 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada sembilan DUN yang diwakili parti-parti pembangkang.

"Perkara ini adalah salah dan tidak benar sama sekali. Harus diingatkan kepada semua pihak bahawa Menteri Besar Selangor telah mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 di mana salah satu inisiatif tersebut adalah penambahan skop peruntukan Program Mesra Rakyat dari RM20,000 kepada RM30,000.

"Inisiatif ini adalah terpakai untuk semua 56 DUN di Selangor. Bagi kawasan DUN pembangkang, peruntukan ini akan diselaraskan oleh penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri atau penyelaras sementara di kalangan ahli Parlimen, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdekatan secara geografik dan lokaliti," katanya menerusi kenyataan semalam.

Katanya, inilah amalan kerajaan negeri sejak dahulu lagi dan bukan kali pertama diadakan.

"Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan ini buat semua rakyat Selangor tidak mengira fahaman politik mahupun perbezaan pendapat.

"Oleh sebab itu, peruntukan sejumlah RM200,000 bagi setiap DUN yang diwakili ADUN pembangkang juga diluluskan bagi manfaat rakyat di kawasan DUN tersebut," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah proaktif bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak ini mengatasi sempadan serta perbezaan politik.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan Selangor dituntut memberi penjelasan berhubung peruntukan Program Mesra rakyat sebanyak RM30,000 bagi menangani Covid-19 yang tidak disalurkan kepada sembilan ADUN pembangkang di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 9 ADUN Selangor tak dapat dana

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata, pihaknya mempersoalkan surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh semalam menjelaskan peruntukan itu hanya disalurkan secara terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat kecuali sembilan ADUN di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu jelas menunjukkan sikap tidak adil kerajaan Selangor kerana sebelum ini di dalam ucapan Pakej Rangsangan Ekonomi menyatakan sejumlah RM30,000 akan disediakan kepada 56 ADUN di negeri ini untuk sebarang perbelanjaan aktiviti mesra rakyat khusus bagi keperluan harian mereka yang terkesan.