Kelantan tambah PPS, siap sedia hadapi gelombang banjir

KOTA BHARU – Kelantan menambah jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kepada 468 lokasi bagi persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini berbanding 459 pada tahun lepas.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim berkata, langkah itu diambil berdasarkan pengalaman banjir tahun lalu yang menyaksikan lebih 120,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke PPS di seluruh negeri.
Jumlah tersebit lebih tinggi berbanding kira-kira 40,000 mangsa banjir berpindah ke PPS pada tahun sebelumnya.
“Berdasarkan pengalaman lepas, kami perlu menambah baik aspek kesiapsiagaan.
“Oleh itu, jumlah PPS ditambah kepada 468 lokasi, manakala pangkalan operasi hadapan turut ditambah termasuk di daerah Kuala Krai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Monsun Timur Laut 2025/2026 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Selasa.
Tambahan PPS itu membabitkan enam daerah termasuk lokasi tumpuan banjir buruk di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat, manakala pangkalan operasi hadapan ditambah daripada 160 kepada 180 lokasi.

Rohani berkata, persediaan rapi juga dibuat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi lain bagi memastikan PPS berada dalam keadaan baik dan lengkap sebelum hujan lebat dijangka bermula November ini.
“Kami mahu pastikan tandas berfungsi, tempat makan selesa, dapur boleh digunakan dan kemudahan asas mencukupi.
“Jabatan Pendidikan Negeri juga memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah berdaftar sebagai PPS boleh digunakan apabila diperlukan,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan unsur politik di PPS dan menumpukan kepada tanggungjawab kemanusiaan.
“Saya minta supaya semua pihak bekerjasama tanpa mengira parti.
“Jangan pakai baju berlogo parti besar-besar, jangan bersyarah politik di PPS, ini bencana dan masa untuk membantu rakyat,” tegasnya.
Menurut Rohani, antara fokus utama tahun ini ialah meningkatkan koordinasi antara agensi, memastikan maklumat dan maklum balas disalurkan tepat kepada jabatan berkenaan.
Beliau turut mengiktiraf peranan petugas dan sukarelawan yang berkhidmat tanpa ganjaran besar namun tetap komited demi kebajikan masyarakat.
“Kerja ini bukan kerana gaji, tetapi kerana tanggungjawab dan kasih kepada masyarakat,” katanya.
Rohani turut mencadangkan agar sagu hati diberikan kepada petugas yang berkhidmat dalam operasi banjir, selain mengekalkan struktur jawatankuasa dan petugas sedia ada bagi memastikan kelancaran operasi tahun ini.
Taklimat itu turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk JKM, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta wakil-wakil rakyat dari daerah berisiko banjir.
Ringkasan AI
- Kelantan menambah jumlah pusat pemindahan sementara kepada 468 lokasi bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut tahun ini
- Lebih daripada 120,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS tahun lalu, meningkat dari kira-kira 40,000 mangsa pada tahun sebelumnya
- Pangkalan operasi hadapan ditambah dari 160 kepada 180 lokasi termasuk di daerah tumpuan banjir seperti Kota Bharu, Pasir Mas, dan Tumpat
- Persediaan rapi dibuat bersama pelbagai agensi untuk memastikan PPS dalam keadaan baik dan lengkap dengan kemudahan asas sebelum musim banjir
- Rohani mengingatkan untuk mengelakkan unsur politik di PPS dan menumpukan kepada tanggungjawab kemanusiaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

