Naratif baharu label Made in China

SELAMA bertahun-tahun, tagline atau label Made in China sering dikaitkan dengan barangan murah, berkualiti rendah dan tiruan.
Persepsi itu berakar sejak era 1980-an hingga 1990-an sewaktu China baru membuka pintu perdagangan kepada dunia.
Barangan keluaran China pada waktu itu membanjiri pasaran global dan tidak terkecuali Malaysia. Namakan apa sahaja baju, kasut, beg, radio, jam tangan dan banyak lagi.
Produk China menjadi pilihan alternatif berbanding jenama-jenama dari Barat atau Jepun yang berganda lebih mahal.
Namun, sejak lebih dua dekad lalu, China membuka era milenium dengan visi baharu. Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun terakhir ini, China berubah begitu drastik.
Negara itu bukan lagi pengeluar barangan kos rendah, sebaliknya kini muncul sebagai kuasa besar teknologi dengan daya saing global semakin menonjol. Naratif sedang dibina pemerintah negara itu, produk Made in China tidak lagi sinonim dengan barangan murah, tidak berkualiti dan barangan tiruan.
Syarikat-syarikat gergasi China seperti Huawei, Xiaomi, BYD, Sany dan Changan kini membuktikan bahawa produk keluaran China mampu mendominasi industri berteknologi tinggi — daripada telefon pintar, kereta elektrik, tenaga bateri, teknologi 5G, sehinggalah kepada kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang.

Dan untuk itu, China sememangnya berusaha gigih memperagakan kepada dunia bahawa negara Tembok Besar berkenaan kini pemain teknologi terkemuka dengan produk boleh dipercayai.
Maka untuk ini juga, pemerintah China di bawah Jabatan Antarabangsa membawa ramai tetamu antarabangsa ke negara itu dalam pelbagai siri lawatan beberapa tahun kebelakangan ini.
Wartawan Sinar Harian, Zamri Rambli, baru-baru ini, berpeluang bersama-sama 23 delegasi dari negara Asia Selatan dan Asia Tenggara terdiri daripada ahli politik, pensyarah, wartawan, penyelidik dan pempengaruh menjelajah ke beberapa bandar utama di China bagi menyaksikan bagaimana negara itu kini sedang mencipta revolusi dengan teknologi dan AI.
SPARK LAWAN CHATGPT
Di Beijing sebagai contoh, kami dibawa ke firma iFlyTek, sebuah syarikat teknologi China yang terkenal dalam pengguna teknologi dan AI untuk menghasilkan produk berkaitan pengecaman suara, pertuturan dan analisis data.
IFlyTek kini menjadi peneraju AI apabila menghasilkan produk penterjemah suara pintar. Sebagai contoh, sebuah peranti dengan kemampuan menterjemah lebih 50 jenis bahasa.
Penulis dan seorang rakan dari Sri Lanka boleh berbual dalam bahasa ibunda masing-masing apabila skrin peranti itu membantu menterjemahkan apa yang dituturkan.
Sebagai gergasi AI di China, IFlyTek juga mencabar ChatGpt apabila mereka memiliki produk dipanggil Spark, malah menariknya syarikat itu turut berbangga dengan produk mereka iaitu OceanDoc yang boleh membantu kita menghasilkan presentation slaid semudah 1, 2 dan 3.
Namun, yang paling menarik perhatian penulis bagaimana IFlyTek menggunakan AI dalam industri pendidikan dan kesihatan.
Bayangkan mereka menghasilkan peranti yang boleh membantu guru memeriksa kertas jawapan murid, baik kertas penulisan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, bahkan Matematik. Tugas berjam-jam guru boleh diselesaikan dalam beberapa minit sahaja.
Lebih gila, peranti dari iFlyTek juga boleh membantu guru dan ibu bapa menganalisis prestasi murid. Apakah subjek paling lemah, topik apakah kurang cekap dan soalan bagaimana yang selalu dijawab salah.
Saat kami di bandar Chongqing iaitu salah satu kota metropolis baharu di China yang terletak kira-kira dua jam penerbangan dari Beijing, kami dibawa melawat ke lebih banyak syarikat perindustrian mereka.
Antaranya syarikat automobil, Changan; syarikat dron, Zhongyue Aviation; syarikat pengeluar jentera konkrit terbesar di dunia, Sany dan syarikat robotik, Huashu Intelligent Robotics Institute.

Saat melawat ke Changan, memang kami masing-masing rambang mata. Changan merupakan salah satu daripada beberapa syarikat gergasi automotif China beribu pejabat di Chongqing.
Membariskan jentera pelbagai model baik sedan, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan crossover, Changan memiliki beberapa jenama lain seperti Deepal dan Avatr. Bab reka bentuk dan kemajuan teknologi Changan memang sudah maju ke depan, ia setanding dan sama elegan seperti jentera BYD.
Pun begitu, berbanding BYD iaitu syarikat automotif swasta China yang sudah lebih lima tahun di Malaysia, Changan menerusi model jenteranya Deepal S07 baru membuat debut di Malaysia hujung tahun lalu.
Terlibat dalam pembinaan bangunan tinggi dunia termasuk Menara Dubai, syarikat Sany pula mengeluarkan produk seperti eskavator, jentolak dan jentera penggerudi.
Malah, menariknya ketika di kilang Sany, kami boleh melihat bagaimana syarikat itu mengintegrasikan robot-robot di bahagian pengeluaran kilang.
Di depan mata kami, puluhan robot bergerak ke sana-sini di dalam kilang membawa pelbagai peralatan diperlukan jurutera atau mekanik.
DRON JADI 'ABANG BOMBA
Satu lagi lokasi paling menarik adalah di syarikat dron. Berbeza dengan dron biasa sebesar tapak tangan, dron keluaran Zhongyue Aviation hadir dalam pelbagai saiz, dengan yang terbesar bersaiz meja makan.
“Walaupun menghasilkan dron untuk pelbagai saiz dan kegunaan, tetapi antara fokus keutamaan kami adalah dron untuk digunakan pasukan bomba.
“Anggota bomba hanya perlu memasang hos paip air kepada dron untuk memadamkan api di bangunan tinggi.

“Dron ini juga boleh membawa tangki serbuk kering pemadam api yang sesuai digunakan untuk memadamkan api di kawasan hutan dan pergunungan,” cerita Pengerusi dan Pengasas Zhongyoue Aviation, Bing Cao.
Menariknya, Bing Cao mengakui syarikat itu sedang mempersiapkan 16 unit dron bomba selepas mendapat permintaan daripada pihak Malaysia.
“Kami dalam proses menyiapkannya dan perlu mendapatkan lebih maklumat mengenai landskap muka bumi di Malaysia,” katanya.
Ternyata lawatan penulis ke China benar-benar membuka mata dan membentuk perspektif baharu terhadap kemajuan negara tersebut.
Segala prasangka lama mengenai China sebagai pengeluar barangan murah dan kurang berkualiti ternyata semakin meleset.
Dari Beijing ke Chongqing, penggunaan teknologi, AI dan automasi pintar membuktikan China kini berada jauh di hadapan dalam bidang strategik dunia moden.
Ringkasan AI
- Tagline Made in China pernah dianggap sebagai lambang barangan murah dan rendah kualiti
- China kini menjadi kuasa besar teknologi dengan produk terkemuka seperti Huawei dan Xiaomi
- Syarikat teknologi China iFlyTek menonjol dalam AI dan teknologi pengecaman suara
- China melibatkan diri dalam pembangunan industri automotif dan pembinaan dengan syarikat seperti Changan dan Sany
- Penggunaan dron dalam operasi penyelamatan dan pemadaman api menunjukkan inovasi teknologi China
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
