Kita ada segalanya cuma kalah pada 'harga'

APA kurangnya Malaysia sehingga setiap kali cuti sekolah, cuti umum atau cuti hujung minggu berduyun-duyun rakyat kita bercuti ke Thailand.
Di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar berderet-deret kereta bernombor plat tempatan.
Gigih walaupun terpaksa menunggu lebih empat jam di kompleks imigresen untuk masuk Thailand. Yang kental pasti sampai!
Tidak hairanlah cuti umum tambahan pada 15 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia, platform pelancongan digital, Agoda merekodkan destinasi luar negara paling mendapat perhatian ialah Hat Yai.
Selain Hat Yai, beberapa wilayah berdekatan seperti Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkla turut menjadi tumpuan.
Sepanjang cuti sempena sambutan Hari Malaysia lalu, kira-kira 200,000 rakyat Malaysia dilaporkan berbelanja hampir RM50 juta di selatan Thailand.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand–Asia Tenggara (TAHTA), Aida Oujeh berkata, setiap pelancong dijangka membelanjakan sekitar 4,000 baht (RM522) untuk penginapan, makanan dan pengangkutan dalam tempoh tiga hari.
Bagaimanapun, dalam tempoh sama, Langkawi yang suatu ketika dahulu dikenali destinasi pelancongan domestik paling popular, merekodkan penurunan pelancong 30 hingga 39 peratus berbanding tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, berdasarkan data rasmi diperoleh, trend itu membuktikan semakin ramai pelancong domestik beralih destinasi ke luar negara khususnya ke selatan Thailand.
Malaysia sememangnya tidak kekurangan keindahan. Dari pantai ke gunung, dari warisan budaya ke makanan, kita ada semuanya.
Jika dibandingkan keindahan kepulauan Phuket dan Krabi di Thailand, apa kurangnya Pulau Langkawi.
Begitu juga dengan makanan yang enak-enak, Kelantan dan Kedah juga adalah syurga makanan. Di Selangor dan Kuala Lumpur, makanan Thailand ada di merata-rata tempat.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengakui faktor harga penginapan dan daya tarikan baharu di Thailand antara sebab pelancong Malaysia memilih melancong ke negara itu.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula dilaporkan berkata, kos bercuti di negara jiran kadang-kadang lebih rendah berbanding dalam negara, sebagai contoh perbelanjaan sekitar RM600 sudah memadai untuk penginapan, makan dan hiburan di Thailand.
Misalnya, kos melancong ke Langkawi kini, hampir sama dengan ke Hatyai, namun harga barang di pulau peranginan itu tidak lagi murah seperti dahulu.
Bab harga makanan di Malaysia terutama tempat tumpuan pelancong jauh lebih tinggi berbanding di Thailand.
Pada hemah penulis, bab harga punca utama kita kalah.
Selagi harga makanan masih tinggi, selagi kemudahan asas pelancongan tidak ditambah baik, dan selagi layanan pelancong sekadar cukup syarat, Malaysia akan terus tewas dalam ‘perlumbaan’ menarik pelancong termasuk rakyatnya sendiri.
Kerajaan, dalam Belanjawan 2026, mengumumkan pelbagai inisiatif untuk merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.
Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak yang dilakukan terhad sehingga RM500,000.
Syarikat pengendali pelancongan turut diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.
Kerajaan bertekad menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf serta rakyat keseluruhannya.
Usaha kerajaan ini wajar dipuji, namun persoalannya sejauh mana insentif cukai dapat merangsang 'ghairah' rakyat untuk bercuti dalam negara, jika kos percutian yang tinggi masih belum ditangani?
*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

