Belanjawan alternatif PN hanya cadangan populis, retorik politik - AMK Bukit Mertajam

Abshar menyifatkan cadangan bantuan sehingga RM6,000 setahun tanpa penjelasan sumber hasil dan implikasi fiskal menunjukkan kelemahan asas dalam perancangan ekonomi PN.
Abshar menyifatkan cadangan bantuan sehingga RM6,000 setahun tanpa penjelasan sumber hasil dan implikasi fiskal menunjukkan kelemahan asas dalam perancangan ekonomi PN.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pembentangan belanjawan alternatif Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan di Parlimen oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin disifatkan populis, tidak berpaksikan realiti ekonomi semasa dan sekadar retorik politik.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf Amram berkata, cadangan untuk memperkenalkan bantuan sehingga RM6,000 setahun kepada rakyat tanpa penjelasan terperinci mengenai sumber hasil dan implikasi fiskal menunjukkan kelemahan asas dalam perancangan ekonomi PN.

Menurutnya, dalam keadaan fiskal negara yang sedang melalui proses penstrukturan semula subsidi dan usaha menstabilkan defisit, cadangan seperti ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang.

"Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil pendekatan lebih holistik dan realistik melalui Belanjawan 2026 dengan menumpukan kepada penyasaran semula subsidi secara bersasar, pemerkasaan golongan belia dan OKU, peningkatan produktiviti sektor PKS serta pendigitalan ekonomi negara dan pelbagai lagi.

"Pendekatan ini terbukti lebih mampan dan berdaya saing untuk tempoh jangka sederhana dan panjang, bukannya janji manis berbaur populisme," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berpendapat belanjawan alternatif yang benar-benar bertanggungjawab mesti berasaskan data dan angka sebenar, unjuran ekonomi yang kukuh serta disiplin fiskal yang berhemah, bukan retorik atau janji kosong semata-mata demi meraih sokongan politik.

Katanya, rakyat, khususnya golongan rentan dan berpendapatan sederhana kini semakin matang dan bijak menilai dasar yang benar-benar membawa manfaat serta menjamin kesejahteraan masa depan mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh anak muda untuk bijak menilai serta menolak politik populis yang menjanjikan bulan dan bintang tanpa pelan pelaksanaan yang munasabah.

"Masa depan negara menuntut keberanian untuk membuat keputusan berasaskan fakta dan keutamaan rakyat, bukannya dipandu oleh emosi atau kepentingan politik sempit," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Belanjawan alternatif Perikatan Nasional disifatkan populis dan tidak bersandar pada realiti ekonomi
  • Cadangan bantuan sehingga RM6,000 setahun oleh PN tanpa penjelasan sumber hasil dianggap tidak bertanggungjawab
  • Anwar Ibrahim mengambil pendekatan holistik dalam Belanjawan 2026 dengan fokus kepada subsidi bersasar dan pemerkasaan golongan belia
  • Belanjawan bertanggungjawab harus berlandaskan data, unjuran ekonomi yang kukuh dan disiplin fiskal
  • Abshar Nurasyraf menggesa anak muda menolak politik populis dan membuat keputusan berasaskan fakta dan keutamaan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!