Covid-19: Pengeluaran KWSP langkah permulaan berkesan bantu rakyat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini merupakan langkah permulaan yang sangat berkesan bagi meringankan beban hampir 12 juta pencarumnya dalam menghadapi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, perkara itu dapat dimanfaatkan masyarakat bagi mendapatkan barang keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan kadar belanja isi rumah juga mungkin bertambah akibat kawalan perjalanan.

“Inisiatif itu sangat membantu, misalnya kalau ada dua orang dalam rumah, seorang berbelanja RM10 sehari, kalau dua orang mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM280 dalam tempoh dua minggu, jadi kalau boleh dikeluarkan RM500 sebulan saya rasa ia sangat mencukupi, ia bukan sahaja bagi keperluan makanan tapi mungkin juga untuk bayaran utiliti dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Unirazak itu berkata, inisiatif tersebut mungkin tidak mencukupi memandangkan ada sebilangan rakyat tidak mempunyai simpanan dalam KWSP kerana bekerja sendiri dan tidak mencarum dengan KWSP.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memikirkan inisiatif lain bagi membantu golongan itu misalnya memperkenalkan kaedah bantuan makanan asas atau ‘food stamp’ yang dilakukan negara lain seperti Amerika Syarikat.

“Kalau kita bagi mereka bantuan “food stamp” yang nilainya sekurang-kurangnya RM300 sebulan, itu sangat melegakan lebih-lebih lagi kepada golongan kurang berkemampuan (B40) yang bekerja sendiri, kumpulan peniaga mikro dan pesara, ada sebahagian yang memerlukannya kerana mereka mungkin kehilangan pekerjaan atau terpaksa melalui cuti tanpa gaji akibat krisis Covid-19 ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah institusi wakaf dalam negara yang dikelolakan pihak kerajaan bagi mengelak kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan sedia ada dalam jangka panjang.

Pakar itu berkata sumbangan syarikat milik kerajaan serta orang ramai kepada tabung itu dan kemudian diuruskan dengan cekap, pendapatan itu boleh digunakan untuk menampung keperluan ketika krisis seperti ini pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing bermula 1 April depan bagi meringankan beban mereka ketika menghadapi cabaran Covid-19.

Beliau berkata, initiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 bilion.

Menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Sementara itu, pekerja swasta, Syazwan Husaini Sanusi, 29, berkata, ia merupakan satu inisiatif yang baik bagi membantu mereka yang memerlukan, bagaimanapun pelaksanaannya perlu dipantau bagi mengelak berlaku "perhimpunan massa" dan menyebabkan penyebaran wabak virus Covid-19 berterusan.

“Pelaksanaan ini mungkin menjejaskan simpanan pencarum pada masa akan datang tetapi seperti yang kita sedia maklum, pengeluaran ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan. Jika masih mampu dan tidak memerlukan wang tambahan, maka tidak perlulah untuk melakukan pengeluaran,” katanya.

Pemerhatian Bernama di laman sosial mendapati rata-rata orang awam menyambut baik dan bersetuju inisiatif tersebut dilakukan bagi membantu meringankan beban mereka dalam mengharungi tempoh PKP.

Menerusi catatan di akaun Facebook, Akmar Harun berkata “Alhamdulillah, berita gembira untuk rakyat Malaysia, inisiatif ini sedikit sebanyak boleh bantu rakyat belanja barang keperluan, kalau peniaga macam kami tak kerja tak ada pendapatan, terima kasih PM.”

Sofia Aneesa pula berkata “Satu usaha yang sangat baik nak bantu rakyat, Insya-Allah dapat juga bantu waktu krisis macam ni, harap yang bekerja sendiri dan tak ada KWSP juga dibantu, terima kasih TSMY!” katanya.-Bernama