Ka Ching: Dari hobi ‘kosongkan’ almari ke untung lima angka sebulan

SIAPA sangka niat asal sekadar mahu membuang baju lama membawa rezeki besar kepada seorang usahawan muda yang kini menjana pendapatan antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan menerusi perniagaan pakaian terpakai di bawah jenama Meiisa Wear.
Pengasas Meiisa Wear Store, Maisha Ashikin Rusli, 31, berkata, perniagaan itu bermula secara tidak dirancang pada 2016 sebelum berkembang pesat dan membawa kepada pembukaan kedai fizikal pada 2024.
“Saya bermula dengan modal kecil sekitar RM200 dan hanya berkongsi gambar di media sosial. Dari situ, ramai yang mula bertanya dan tidak menyangka perniagaan ini mampu berkembang hingga ke tahap sekarang.

“Bagi saya, pengalaman menjual pakaian sendiri memberi peluang untuk memahami cita rasa pelanggan serta kepentingan gaya dalam menarik minat pembeli,” katanya ketika ditemui selepas rakaman episod ketiga program Ka Ching terbitan Sinar Harian, baru-baru ini.
Menjelaskan strategi perniagaannya, Maisha berkongsi, beliau menitikberatkan aspek estetik dan kualiti pakaian bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan setiap pembelian.
“Kami memilih pakaian dengan teliti dan memastikan setiap helaian berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecacatan. Barangan yang tidak memenuhi piawaian kualiti tidak akan dijual kerana mahukan pelanggan berasa puas dengan setiap pembelian.
“Sewaktu menjual dalam talian dahulu, saya juga memastikan setiap gambar kelihatan menarik dengan padanan seluar serta aksesori yang sesuai bagi mencerminkan identiti Meiisa Wear,” katanya.
Tambahnya, Meiisa Wear masih belum membuka peluang kepada pihak luar untuk menjual pakaian di premisnya kerana mahu mengekalkan kawalan terhadap mutu dan gaya setiap koleksi.

“Kami pernah cuba membuka guni sendiri tetapi hasilnya tidak seragam. Ada barangan yang masih elok namun tidak seiring dengan trend semasa.
“Oleh itu, saya lebih gemar memilih sendiri koleksi pakaian agar setiap pilihan yang ditawarkan di kedai ini benar-benar berbaloi untuk pelanggan,” ujarnya.
Maisha berkata, Meiisa Wear kini memberi tumpuan kepada pelanggan wanita yang mencari pakaian harian berkualiti seperti kemeja yang dijual pada harga antara RM18 hingga RM30 sehelai.
“Di Meiisa Wear, kami tidak menumpukan pada barangan edisi terhad sebaliknya lebih kepada pakaian harian yang cantik, selesa dan berbaloi.
“Sebagai contoh, jika kemeja kapas baharu berharga sekitar RM70, di sini pelanggan boleh mendapatkannya pada harga separuh daripada itu,” katanya.
Menurut beliau, walaupun pasaran bundle kini semakin kompetitif dengan kemunculan ramai pemain kecil, Meiisa Wear kekal relevan kerana memiliki identiti tersendiri.
“Rahsianya ialah keaslian dan gaya tersendiri. Saya tidak meniru orang lain sebaliknya cipta identiti sendiri yang mudah dikenali pelanggan. Asalkan ada minat dan usaha, rezeki itu pasti datang.
“Saya berharap perniagaan ini dapat terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada golongan muda khususnya wanita untuk berani memulakan perniagaan kecil tanpa modal besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Maisha berkata, perniagaan bundle kini semakin diterima masyarakat dan menjadi buruan penggemar fesyen serta pengumpul tegar yang sanggup membida harga tinggi semata-mata untuk memiliki pakaian tertentu.
“Dahulu, orang menganggap pakaian bundle sinonim dengan barangan murah, namun terdapat juga item edisi terhad yang nilainya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.
“Kadang-kadang kita boleh menemui jenama mewah seperti Christian Dior atau Versace dalam longgokan bundle dengan harga serendah RM10. Jika dibandingkan dengan harga asalnya yang mungkin mencecah ribuan ringgit, tidak hairanlah ramai yang teruja memburunya,” katanya.
Mengulas lanjut, Maisha berkata, konsep bundle kini tidak lagi dipandang rendah seperti dahulu apabila ramai pengguna mula menghargai nilai fesyen lestari dan pilihan berkualiti pada harga mampu milik.
“Dahulu keluarga saya sendiri agak skeptikal dan beranggapan membeli pakaian terpakai boleh menyebabkan kulit gatal. Saya sendiri pada awalnya tidak pandai ‘menyelam’ dan sering pergi ke kedai bundle yang menjual pakaian sudah kekuningan.
“Bagaimanapun, apabila kita sudah tahu cara memilih, banyak pakaian bundle masih dalam keadaan baik. Malah, ramai pelanggan yang datang semula kerana dapat memiliki pakaian yang berkualiti dengan harga yang jimat,” ujarnya.
Beliau berpandangan, perkembangan industri bundle di Malaysia semakin rancak dengan lebih ramai anak muda melihatnya sebagai alternatif bergaya dan mesra bajet.
“Sekarang ramai pelanggan muda yang minat ‘thrift fashion’ kerana mereka mahukan gaya unik tanpa perlu berbelanja besar.
“Konsep ini juga bantu mengurangkan pembaziran tekstil dan menyokong gaya hidup lestari,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Niat asal buang baju lama bawa rezeki besar kepada Maisha Ashikin Rusli, pengasas Meiisa Wear dengan pendapatan RM40,000 - RM60,000 sebulan
- Meiisa Wear bermula pada 2016 dengan modal RM200 dan berkembang pesat hingga pembukaan kedai fizikal pada 2024
- Strategi perniagaan menitikberatkan estetik dan kualiti pakaian untuk kepuasan pelanggan
- Tumpuan kepada pelanggan wanita dengan pakaian harian berkualiti dijual pada harga berpatutan
- Konsep bundle diterima masyarakat sebagai gaya hidup lestari dan fesyen mampu milik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
