Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam jana ekonomi desa

Mohd Ali (dua dari kiri) dan Mohd Ridhwan (dua dari kiri) ketika melawat ladang buah tin di Kampung Tersusun Bukit Senggeh pada Isnin.
Mohd Ali (dua dari kiri) dan Mohd Ridhwan (dua dari kiri) ketika melawat ladang buah tin di Kampung Tersusun Bukit Senggeh pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) memperluaskan peranannya dalam memperkukuhkan ekonomi orang Melayu menerusi projek ladang buah tin di Kampung Tersusun Bukit Senggeh.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, berkata projek seluas dua hektar itu diusahakan bersama AKE Benefigs akan menjadi pemangkin kepada gabungan sektor pertanian moden, pendidikan awal dan pelancongan komuniti.

Menurutnya, sekali gus kerjasama yang bermula sejak Mei lalu itu menandakan langkah berani yayasan itu memperluas peranan ke arah membangunkan ekonomi luar bandar melalui pendekatan inovatif.

"Kami mahu membentuk ekosistem baharu di mana pertanian bukan sekadar hasil tanaman sahaja.

"Namun pertanian juga menjadi ruang pembelajaran dan penjanaan ekonomi setempat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ladang Buah Tin AKE Benefigs, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Kampung Tersusun di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Eksekutif AKE Groups, Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Hafidz Arifin.

Tambahnya, lrojek tersebut turut membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan buah tin yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

"Selain itu, 10 peratus daripada keuntungan projek akan disalurkan kepada yayasan sebagai dana kebajikan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan", katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKE Groups, Mohamad Hafidz Arifin, berkata ladang tersebut kini menempatkan lebih 2,000 pokok buah tin terdiri daripada varieti merah Jepun dan kuning Algeria yang berupaya menghasilkan sehingga 30 kilogram buah segar setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain penduduk tempatan mendapat limpahan rezeki,malah dengan adanya projek ini dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan tanpa melibatkan pekerja warga asing.

"Ladang ini juga berfungsi sebagai pusat pembelajaran terbuka untuk pelajar, usahawan dan pelancong yang ingin memahami pertanian moden menggunakan teknologi dan kaedah organik," katanya lagi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!