Kibar bendera Israel: Polis Kelantan ambil keterangan penganjur hari ini

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mengambil keterangan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di atas tindakan mengibarkan bendera Israel semasa melakonkan semula apa yang berlaku kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, proses itu akan berlangsung hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, sebarang lambang kebangsaan tanpa kelulusan seperti bendera Israel adalah menjadi satu kesalahan.
Sinar Harian melaporkan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat lalu memohon maaf di atas tindakan mengibarkan bendera Israel semasa melakonkan semula apa yang berlaku kepada sukarelawan GSF.
Menurut Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, beliau turutbersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Sebelum itu tindakan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia mengibarkan bendera Israel semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza mendapat kecaman serta pelbagai pandangan orang ramai di media sosial apabila menampilkan sebuah bot yang mengibarkan panji rejim zionis iu.
Menurut Mohd Khairul Hafiz itu hanyalah simulasi dan tidak mempunyai niat lain serta menyinggung mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- Polis Kelantan akan mengambil keterangan Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia mengenai tindakan mengibarkan bendera Israel
- Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949
- Mengibarkan bendera negara tanpa kelulusan termasuk bendera Israel adalah kesalahan
- Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia memohon maaf atas tindakan tersebut
- Tindakan mengibarkan bendera Israel mendapat kecaman dan pelbagai pandangan di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

