Bekas model tidak perlu jalani pemeriksaan mental kali kedua

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memutuskan bekas model yang dituduh memuat naik sijil nikah palsu dengan kerabat Diraja Johor tidak perlu menjalani pemeriksaan mental buat kali kedua.
Semasa prosiding, Hakim, Suhaila Haron berkata, laporan psikiatri, Persana Avril Sollunda, 43, telah dikeluarkan pihak Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 17 September lalu.
“Laporan itu menyatakan, tertuduh layak untuk dibicarakan di mahkamah ini maka jika ada sebarang isu perubatan, boleh hantar surat kepada pihak terlibat dan lampirkan kepada mahkamah,” katanya.
Beliau kemudiannya mengekalkan perbicaraan kes terbabit pada 3 hingga 5 Disember depan.
Mahkamah juga menetapkan 31 Oktober untuk pengurusan kes bagi perkembangan permohonan representasi sekiranya ada.
Semasa prosiding, peguam, Rubhern Raj yang mewakili wanita berkenaan berkata, anak guamnya membuat banyak aduan, mengenai status psikiatrinya.
“Pemeriksaan mental telah dibuat namun saya mohon pemeriksaan berkenaan dibuat sekali lagi.
“Kami telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penjara dan mereka meminta supaya isu ini dipanjangkan kepada pihak mahkamah,” katanya selepas tertuduh memberitahu ubat yang diberi tidak menunjukkan keberkesanan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham membantah permohonan berkenaan dengan alasan laporan hospital terdahulu, sudah memadai.
Menurutnya, tiada keperluan untuk tertuduh mendapatkan semula pemeriksaan kesihatan yang sama.
“Perkara berkaitan ubat-ubatan yang didakwa tidak berkesan, tiada kena-mengena dengan laporan psikiatri.
“Pihak pembelaan sepatutnya menulis surat atau menghubungi pihak penjara berhubung perkara berkenaan,” katanya.
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan pemeriksaan mental kedua bagi bekas model tuduh muat naik sijil nikah palsu
- Laporan psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta menunjukkan tertuduh layak dibicarakan
- Perbicaraan kes ditetapkan pada 3 hingga 5 Disember
- Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 31 Oktober untuk pertimbangan permohonan representasi
- Peguam tertuduh minta pemeriksaan mental kedua selepas ubat yang diberi tidak berkesan, namun ditentang Timbalan Pendakwa Raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

