Johor catat rekod MBOR, lepas 1.6 juta benih udang galah

Zahari (dua dari kanan) ketika melepaskan benih udang galah di Sungai Muar pada Ahad.
Zahari (dua dari kanan) ketika melepaskan benih udang galah di Sungai Muar pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Johor mencatat rekod tersendiri dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hasil pelepasan sebanyak 1.6 juta benih udang galah di beberapa lokasi sekitar negeri itu pada Ahad.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pelepasan benih udang galah tersebut dilaksanakan serentak di tujuh daerah iaitu Segamat, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi.

“Kita lepaskan benih udang galah ini di lima lembangan sungai utama yang menempatkan komuniti nelayan darat, iaitu Sungai Muar, Sungai Ulu Benut, Sungai Sembrong, Sungai Telor dan Sungai Lenggor.

“Program ini bukan sekadar simbolik pelepasan benih semata-mata, tetapi merupakan manifestasi komitmen kerjasama strategik antara kerajaan negeri, jabatan berkaitan dan komuniti nelayan darat untuk memulihara serta memelihara sumber perikanan air tawar di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan acara pelepasan benih udang galah di Sungai Muar, Jambatan Putus, Segamat bersama Jabatan Perikanan Negeri Johor, wakil MBOR serta komuniti nelayan darat setempat pada Ahad.

Selain pengiktirafan MBOR, lesen nelayan darat dan peralatan keselamatan turut diserahkan kepada 34 nelayan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Segamat.

Bantuan tersebut merangkumi peralatan keselamatan, jaring, enjin sampan, pembinaan jeti pendaratan dan kemudahan lain bagi membolehkan aktiviti penangkapan sumber dijalankan dengan selamat serta meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti terbabit.

Dalam pada itu, Zahari berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan terus menyokong pembangunan sektor perikanan dengan memperluaskan inisiatif kepada komuniti nelayan darat, termasuk bantuan tunai menerusi Program Bantuan Kasih Johor.

Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan keseluruhan daripada Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2025 berjumlah RM650,000, yang melibatkan RM600,000 daripada kerajaan negeri dan RM50,000 daripada Kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, peruntukan itu adalah bagi pelaksanaan pelepasan tiga juta benih udang galah dan 202,000 benih ikan di lapan lokasi terpilih di seluruh negeri.

“Pada tahun 2024, sektor perikanan darat Johor terus mencatat pertumbuhan positif apabila pengeluaran meningkat kepada 1,400.33 tan metrik hasil air tawar bernilai RM18.77 juta, berbanding 1,184 tan metrik bernilai RM16.78 juta pada tahun 2023.

“Oleh itu, inisiatif pelepasan benih secara besar-besaran ini adalah langkah tepat untuk memastikan stok sumber semula jadi terus berkekalan, sekali gus memberi manfaat ekonomi serta peningkatan pendapatan kepada nelayan darat (sungai) dan masyarakat luar bandar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Johor mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dengan pelepasan 1.6 juta benih udang galah
  • Pelepasan benih dilaksanakan serentak di tujuh daerah termasuk Segamat dan Muar
  • Benih udang galah dilepaskan di lima lembangan sungai utama untuk memulihara sumber perikanan air tawar
  • Lesen nelayan dan peralatan keselamatan diserahkan kepada 34 nelayan baharu di Segamat
  • Kerajaan negeri Johor menyokong sektor perikanan dengan inisiatif pelepasan benih dan bantuan tunai menerusi Program Bantuan Kasih Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!