IIB sokong Belanjawan 2026, usaha majukan Johor sebagai hab ekonomi serantau

Idzham (tengah) bersama Perdana Menteri bersama yang juga merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Idzham (tengah) bersama Perdana Menteri bersama yang juga merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
A
A
A

SHAH ALAM – Iskandar Investment Berhad (IIB) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, Belanjawan 2026 mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara melalui pendekatan yang seimbang antara pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan.

Idzham menyambut baik Belanjawan 2026 yang mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Idzham menyambut baik Belanjawan 2026 yang mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh daya saing ekonomi negara.

“Kami percaya bahawa gabungan pelaburan strategik, pembangunan bakat dan pemerkasaan teknologi hijau akan mempercepatkan kemajuan Johor sebagai hab ekonomi serantau yang mampan, berdaya tahan serta berdaya saing,” katanya.

Sebagai salah satu peneraju utama pembangunan wilayah Iskandar Puteri, IIB komited untuk terus menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan memperkukuh ekosistem bakat melalui inisiatif seperti Johor Talent Development Council (JTDC) dan Program K-Youth, selain memajukan agenda inovasi serta pelaburan hijau di rantau selatan.

IIB yakin bahawa Belanjawan 2026 bukan sahaja memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara, malah mempercepatkan agenda pembangunan mampan dan inklusif di Johor.

Dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, IIB akan terus komited memainkan peranan sebagai pemacu utama transformasi ekonomi Iskandar Malaysia melalui strategi pelaburan berimpak tinggi, pembangunan komuniti serta pemerkasaan bakat tempatan.

Pada masa sama, IIB memandang tinggi iltizam kerajaan dalam memperkukuh asas fiskal negara yang diyakini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap projek-projek jangka panjang di Johor, terutamanya dalam sektor pelaburan berimpak tinggi dan pembangunan mampan.

Pelaksanaan Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) dan Johor Super Lane dijangka mempercepat proses kelulusan pelaburan, memperkukuh tadbir urus serta memudahcara urusan pelabur, sejajar dengan hasrat menjadikan Johor sebagai pintu gerbang pelaburan antarabangsa yang dinamik.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan JS-SEZ mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM37.1 bilion bagi separuh pertama tahun 2025 yang mewakili 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan negeri Johor, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi besar wilayah ini.

Johor juga muncul sebagai negeri dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia bagi tempoh yang sama dengan nilai FDI diluluskan berjumlah RM25.5 bilion iaitu lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan FDI negara bagi separuh pertama 2025.

Pencapaian tersebut memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan strategik negara, hasil daripada pelaksanaan dasar mesra pelabur dan inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pelaburan di wilayah selatan.

IIB akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah JS-SEZ bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara inklusif oleh rakyat dan komuniti setempat.

IIB turut menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta oleh Khazanah Nasional Berhad bagi pelaksanaan Program K-Youth yang akan memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, teknologi digital, kejuruteraan dan penyelenggaraan (MRO).

Sebagai rakan pelaksana strategik, IIB akan bekerjasama rapat dengan Khazanah Nasional Berhad untuk memastikan pelaksanaan Program K-Youth di Johor dilaksanakan dengan berkesan.

Ringkasan AI

  • IIB menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026
  • Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh daya saing ekonomi melalui pembangunan fizikal dan modal insan
  • IIB menyokong pembinaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dan inisiatif pembangunan bakat seperti Johor Talent Development Council
  • IIB berusaha mempercepat agenda pembangunan mampan dan inklusif di Johor
  • Kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura menarik pelaburan RM37.1 bilion, membuktikan potensi ekonomi wilayah ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!