Belanjawan 2026: MAA seru kerajaan kekal kerangka dasar seimbang sokong segmen EV

KUALA LUMPUR - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyeru kerajaan agar mempertimbangkan untuk mengekalkan kerangka dasar yang seimbang bagi terus menyokong kedua-dua segmen kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD).
Ini berikutan penamatan tempoh insentif bagi EV CBU, dan menurutnya penting agar insentif itu diteruskan sekurang-kurangnya pada peringkat awal peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik.
"Ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan. Insentif berterusan untuk model CBU amat penting bagi mewujudkan kesedaran pengguna, keyakinan pasaran dan kesediaan permintaan.
"Ketiga-tiga aspek ini merupakan prasyarat utama kepada kejayaan jangka panjang program pemasangan EV tempatan,” kata MAA dalam satu kenyataan hari ini sebagai maklum balas terhadap pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
MAA turut menegaskan bahawa kerajaan perlu terus menyesuaikan dasar-dasarnya selaras dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pesat industri global.
Pada masa sama, persatuan itu tetap yakin kerajaan akan terus mengambil pendekatan jangka panjang dalam membentuk landskap dasar EV negara.
Ini kerana landskap automotif yang berubah pantas menuntut kerangka dasar yang progresif dan adaptif bagi memudahkan pengembangan industri serta penerapan teknologi berimpak tinggi, katanya.
MAA turut menyambut baik geran padanan RM4,000 yang diperkenalkan untuk menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan berusia lebih 20 tahun, yang disifatkan sebagai langkah progresif ke arah meningkatkan keselamatan, memelihara kemampanan alam sekitar dan menyokong jenama kereta nasional.
"Bagi meningkatkan lagi kesan positif inisiatif ini, MAA mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk meluaskan kelayakan program tersebut kepada model CKD jenama automotif lain,” kata persatuan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyeru kerajaan agar mempertimbangkan untuk mengekalkan insentif bagi kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD)
- Ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal dan memerlukan insentif berterusan untuk model CBU untuk mewujudkan kesedaran pengguna dan keyakinan pasaran
- MAA menekankan kepentingan menyesuaikan dasar-dasar selaras dengan kemajuan teknologi dan perkembangan industri global
- MAA yakin kerajaan akan mengambil pendekatan jangka panjang dalam membentuk landskap dasar EV negara yang progresif dan adaptif
- MAA menyambut baik geran padanan RM4,000 untuk pemilik yang melupuskan kenderaan berusia lebih 20 tahun dan mencadangkan peluasan kelayakan program kepada model CKD jenama automotif lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
