X

Kindly register in order to view this article
!

Saran syarikat utiliti pertimbang diskaun, rebat lebih tinggi

Tan Sri Lee Lam Thye -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR- Syarikat utiliti terutama dalam perkhidmatan telekomunikasi, elektrik dan air disaran agar mempertimbangkan pemberian diskaun atau rebat yang lebih tinggi bagi membantu masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika melontarkan saranan itu berkata, langkat tersebut penting bagi meringankan beban rakyat yang tidak boleh keluar dari rumah sesuka hati sepanjang tempoh PKP.

"Hal ini kerana PKP dilaksanakan dalam tempoh dua minggu atau boleh disambung. Apabila rakyat diarah untuk tidak keluar, penggunaan elektrik, air dan telefon pastinya meningkat.

"Kesemuanya itu boleh membawa kepada bil yang lebih tinggi. Saya cadangkan mereka (syarikat utiliti) harus mempertimbangkan untuk membantu masyarakat seiring dengan usaha kerajaan yang memberi bantuan," katanya kepada Bernama.

PKP, yang diisytihar, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac, adalah bertujuan mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini. Perintah itu berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac di seluruh negara.

Lam Thye juga berpendapat pemberian diskaun dua peratus ke atas penggunaan elektrik bagi tempoh bermula 1 April sehingga 30 Sept 2020 seperti yang diumumkan 19 Mac lalu adalah terlalu rendah.

"Saya berpendapat dua peratus terlalu kecil... tidak membawa apa-apa impak. Saya harap (syarikat utiliti) boleh bawa diskaun kepada 20 peratus untuk enam bulan akan datang," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman Muhyiddin hari ini bagi membantu rakyat mengharungi kehidupan sepanjang PKP.

" Apa yang diumumkan Perdana Menteri pada hari ini adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk meringankan beban rakyat Malaysia, terutama mereka yang berpendapatan rendah pada waktu getir ini.

" Dalam dua minggu ini Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, ramai yang mungkin susah kerana tidak boleh keluar menjalankan perniagaan seperti peniaga kecil dan penjaja... jadi apa yang diumumkan Perdana Menteri saya alu-alukan," katanya.

Muhyiddin mengumumkan beberapa inisiatif untuk rakyat seperti kemudahan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional selain peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri bagi membantu menangani krisis susulan penularan wabak Covid-19. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!