FFC x TMTG: Tangan direntap, diseret 200 meter sebelum dihantar ke penjara

Dr Mohd Alauddin (tengah) bersama isteri, Dr Fauziah (kiri) sejurus tiba di KLIA Terminal 1 hari ini. - Foto: Bernama
Dr Mohd Alauddin (tengah) bersama isteri, Dr Fauziah (kiri) sejurus tiba di KLIA Terminal 1 hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - "Dua tentera Israel rentap tangan dan ikat ke belakang, seret saya kira-kira 200 meter sebelum dipaksa melutut selama sejam ketika tiba di Pelabuhan Ashdod."

Itu pengalaman Ketua Deligasi Malaysia dalam Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC), Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali ketika ditahan tentera Zionis sebelum dibawa ke Penjara Ketziot, Negev, Israel setelah kapal Conscience yang dinaiki dipintas rejim itu.

Malah beliau berkata, semua aktivis yang ditahan akan dikasari oleh tentera Zionis berkenaan.

"Tangan yang dilipat ke belakang itu macam nak patah.

"Itulah (perbuatan) paling kasar terhadap saya selain kena duduk dalam penjara yang seperti kandang,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau bersama lapan aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan selamat tiba di tanah air pada pukul 4 petang menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 dari Istanbul.

Selain Alauddin, turut berada di atas kapal Conscience ialah Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan, Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.

Sementara itu, Mohd Afandi berkata, mereka ialah aktivis biasa yang meneruskan kesinambungan sukarelawan global lain dalam usaha menghentikan kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin.

"Kami di sini bukan sebagai wira, tetapi nak menunjukkan bahawa kerakusan dan kejahatan Israel bukan hanya pada penduduk Gaza, malah seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah ditangkap, diculik di lautan antarabangsa dan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

"Saya percaya isu Palestin akan buat dunia sedar mengenai kekejaman mereka," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Ketua Deligasi Malaysia dalam Misi Freedom Flotilla Coalition, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, ditahan tentera Zionis sebelum dibawa ke Penjara Ketziot, Negev, Israel
  • Beliau diperlakukan kasar termasuk dipaksa melutut selama sejam ketika tiba di Pelabuhan Ashdod
  • Semua aktivis yang ditahan akan dikasari oleh tentera Zionis
  • Beliau bersama lapan aktivis Malaysia lain selamat tiba di tanah air pada pukul 4 petang menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 dari Istanbul
  • Aktivis tersebut meneruskan kesinambungan sukarelawan global lain dalam usaha menghentikan kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!