PM sumbang telefon bimbit baharu kepada sembilan aktivis FFC x TMTG

SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, yang hadir pada majlis sambutan kepulangan aktivis FFC x TTMG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada Ahad.
"Seperti yang dijanjikan Perdana Menteri sebelum ini, mereka akan dihadiahkan telefon bimbit setelah telefon mereka dicampak ke dalam laut.
"Jadi hari ini beliau (Anwar) tunaikan janji untuk berikan telefon bimbit kepada semua aktivis,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Terdahulu, mereka menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 pada Ahad jam 1.40 pagi dari Istanbul dan tiba di KLIA pada jam 4.01 petang.
Kepulangan mereka disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, anggota keluarga dan penyokong yang setia menunggu dengan sabar di Balai Ketibaan.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad, yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas, sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan kemudiannya dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan telefon bimbit kepada sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza
- Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin semasa majlis sambutan kepulangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
- Telefon tersebut sebagai gantian untuk telefon yang dicampak ke laut sebelumnya
- Aktivis-aktivis tersebut pulang ke Malaysia melalui penerbangan Turkish Airlines TK60 dari Istanbul dan tiba di KLIA
- Misi kemanusiaan tersebut melibatkan sekitar 150 aktivis dari 25 negara dan sembilan kapal yang dipintas oleh tentera Zionis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

