FFC X TMTG: Sembilan aktivis Malaysia selamat tiba di tanah air

SEPANG – Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) selamat tiba di tanah air pada jam 4 petang Ahad.
Kepulangan mereka disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; ahli keluarga serta penyokong yang setia menunggu di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara yang belayar menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad, sebelum dipintas oleh tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lalu.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Mohd Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; Profesor Dr Mohd Afandi Salleh; Dr Noorhasyimah Ismail; Norsham Abu Bakar; dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil. Seorang lagi aktivis, Dr Maziah Muhammad, seorang doktor perubatan, berada di atas kapal Umm Saad.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh tentera Zionis Israel yang menahan kapal misi kemanusiaan tersebut.
Anwar menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan serta mencabuli prinsip asas hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat.
Sementara itu, Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atas usaha membantu kepulangan semua aktivis termasuk rundingan dengan pihak Turkiye bagi membenarkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul sebagai laluan pulang dari Israel.
"Perjuangan membebaskan Palestin tidak akan berhenti setakat ini, ia akan diteruskan dalam pelbagai bentuk solidariti.
"Misi ini tidak perlu sampai ke Gaza untuk berjaya. Ketika dunia mula memerhati dan kita semua resah tentang nasib rakyat Gaza, objektif misi ini sudah tercapai.
“Israel boleh menahan kapal dan memenjarakan aktivis kita, namun gelombang flotilla ke Gaza akan terus berlayar dan tidak meruntuhkan semangat solidariti semua,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza selamat tiba di Malaysia
- Kepulangan mereka disambut oleh isteri Perdana Menteri dan beberapa menteri serta ahli keluarga di KLIA
- Misi tersebut diikuti oleh aktivis dari 25 negara dengan menggunakan sembilan kapal
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Zionis yang menahan kapal misi kemanusiaan tersebut
- Pengerusi MyCARE mengucapkan terima kasih kepada usaha kerajaan Malaysia memudahkan kepulangan aktivis dan menegaskan perjuangan membebaskan Palestin akan berterusan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

