Belanjawan Madani keempat terjemah reformasi kepada hasil nyata - PM

KUALA LUMPUR - Belanjawan MADANI Keempat yang dibentangkan semalam merupakan manifestasi nyata keberanian kerajaan dalam menterjemah agenda reformasi kepada tindakan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, belanjawan itu menandakan permulaan lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan kepada pengukuhan tatakelola, pengurangan defisit fiskal, peningkatan kebajikan rakyat serta pemacuan ekonomi berasaskan nilai tinggi.
"Setelah berani mengusung reformasi, inilah masanya memulangkan hasil kepada rakyat.
"Belanjawan MADANI Keempat yang saya hamparkan semalam membuka lembaran pertama di bawah RMK13, memaknai erti reformasi yang kini diterjemah kepada tindakan dan hasil nyata,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, belanjawan bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” menggabungkan disiplin dan nurani dalam merencana masa depan negara yang adil, makmur dan bermaruah.
Semalam, Perdana Menteri berkata, belanjawan itu mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion, berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya. - Bernama
Ringkasan AI
- Belanjawan MADANI Keempat dibentangkan sebagai manifestasi keberanian kerajaan menterjemah agenda reformasi menjadi tindakan
- Ini adalah permulaan lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan fokus pada pengukuhan tatakelola dan pengurangan defisit fiskal
- Belanjawan menekankan peningkatan kebajikan rakyat dan pemacuan ekonomi berasaskan nilai tinggi
- Tema belanjawan "Belanjawan Rakyat" menggabungkan disiplin dan nurani untuk merencana masa depan negara yang adil, makmur dan bermaruah
- Belanjawan meningkatkan perbelanjaan awam kepada RM470 bilion daripada RM452 bilion tahun sebelumnya, mengoptimumkan sumber termasuk dana GLIC dan badan berkanun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
