PDRM sudah sedia serap serangan pantas Kuala Lumpur

PENGENDALI skuad ragbi Piala Agong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), K Dinesvaran menegaskan penyandang juara itu tidak akan terburu-buru melayani corak permainan pantas Kuala Lumpur.
Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan tersebut berkata, anak buahnya akan tampil lebih berdisiplin apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi suku akhir.
“Kuala Lumpur bermain dengan tempo tinggi dan corak mereka agak tidak berstruktur. Jadi kami akan lebih berhati-hati apabila mereka melancarkan serangan,” jelas Dinesvaran kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, PDRM dijadualkan menentang Kuala Lumpur di Padang Pulapol, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Tambah Dinesvaran, tumpuan utama PDRM ialah mengekalkan keseimbangan antara pertahanan dan serangan agar tidak terperangkap dengan rentak agresif lawan.
“Kami tidak boleh terikut-ikut dengan tempo lawan. Fokus kami ialah mengekalkan disiplin dalam sistem bertahan, tapi pada masa sama bersedia mengambil peluang untuk menyerang balas,” ujarnya.
Mengulas persediaan mental dan fizikal pasukannya menjelang fasa kalah mati, Dinesvaran menegaskan skuad bimbingannya kekal bersemangat tinggi dan tidak gentar berdepan tekanan perlawanan penting.
“Mentaliti kami sentiasa sama dari perlawanan pertama. Kami anggap setiap perlawanan seperti final,” katanya.
Sebagai rekod, PDRM mara ke suku akhir selepas muncul juara Kumpulan A, manakala Kuala Lumpur melangkah sebagai naib juara Kumpulan C.
Musim lalu, PDRM menjuarai Piala Agong selepas menewaskan Johor 43-29 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
INFO
PIALA AGONG 2025
SABTU (11 OKTOBER)
SUKU AKHIR
Terengganu lwn Kelantan
(Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, 3 petang)
Johor lwn Selangor
(Stdm Ragbi Johor, Mount Austin, 3 petang)
Perlis lwn ATM
(Padang B, Kompleks Sukan Syed Putra, 3 petang)
Ringkasan AI
- PENGENDALI skuad ragbi Piala Agong, PDRM, K Dinesvaran menegaskan tidak akan terburu-buru melayani corak permainan pantas Kuala Lumpur
- Anak buahnya akan tampil lebih berdisiplin dalam aksi suku akhir
- Tumpuan utama PDRM ialah mengekalkan keseimbangan antara pertahanan dan serangan
- Persediaan mental dan fizikal pasukannya menjelang fasa kalah mati kekal bersemangat tinggi
- PDRM mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A, manakala Kuala Lumpur sebagai naib juara Kumpulan C
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
