'Makin semangat nak menanam' - Pesawah syukur bantuan pertanian RM2.62 bilion

Sinar baharu ketika pesawah berdepan kenaikan mendadak kos pengeluaran termasuk baja, racun dan sewaan mesin

Pesawah sifatkan pengumuman subsidi dan bantuan pertanian RM2.62 bilion dalam Belanjawan 2026 sebagai sinar baharu yang membantu meringankan beban kos pengeluaran. Gambar kecil: Noor Azmi, Zuha dan Siti Rogayah. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
Pesawah sifatkan pengumuman subsidi dan bantuan pertanian RM2.62 bilion dalam Belanjawan 2026 sebagai sinar baharu yang membantu meringankan beban kos pengeluaran. Gambar kecil: Noor Azmi, Zuha dan Siti Rogayah. Foto SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Pengumuman kerajaan untuk menyalurkan subsidi dan bantuan pertanian tertinggi dalam sejarah berjumlah RM2.62 bilion melalui Belanjawan 2026 disifatkan pesawah sebagai pertolongan yang tepat pada waktunya.

Bagi pesawah, Noor Azmi Che Ya, 49, bantuan itu memberi sinar baharu ketika pesawah berdepan kenaikan mendadak kos pengeluaran termasuk baja, racun dan sewaan mesin.

“Sekarang kos semua naik, petani banyak bergantung kepada subsidi.

“Apabila kerajaan umum bantuan besar ini, memang terasa manisnya, naik semangat kami hendak teruskan menanam,” katanya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, meskipun harga padi kini sekitar RM1,550 satu tan, potongan mutu yang meningkat sehingga 26 hingga 27 peratus mengurangkan pulangan bersih kepada kira-kira RM500 seekar selepas ditolak kos.

“Apabila dicampur dengan bantuan kerajaan, barulah nampak sedikit hasil bersih.

“Kalau tidak, kerja ini hanya untuk kelangsungan hidup sahaja,” katanya.

Noor Azmi mengusahakan 7.3 hektar sawah padi di tanah sewaan di Lubuk Tembesu, Semerak Hulu, Pasir Puteh bagi menyara keluarga serta menanggung tujuh anak, termasuk lima yang masih bersekolah.

Pesawah lain, Siti Rogayah Awang Man, 52, dari Kampung Kubang Telaga turut menyambut pengumuman itu dengan rasa syukur dan kelegaan kerana keadaan pesawah kini antara yang paling mencabar dalam tempoh 10 tahun beliau mengusahakan tanaman padi.

Artikel Berkaitan:

“Musim lepas saya terpaksa pinjam RM10,000 dengan Amanah Ikhtiar Malaysia sebab tak cukup modal.

“Sekarang hasil makin kurang sebab masalah air dan kalau tiada bantuan ini, memang susah hendak teruskan musim depan,” katanya yang mengusahakan 1.2 hektar sawah padi.

Tambahnya, hasil yang dahulu mampu memberi simpanan antara RM4,000 hingga RM5,000 semusim kini merosot kepada sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sahaja.

“Untuk tampung belanja harian, saya menoreh getah, buat ketupat dan ambil upah masak kenduri,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan (PESAK), Zuha Ismail berkata, pihaknya menyokong langkah Kerajaan Madani yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap pesawah menerusi setiap pembentangan belanjawan.

Zuha berkata, kenaikan kadar bantuan seperti insentif pembajakan RM160 sehektar, insentif racun RM300 sehektar serta insentif penuaian baharu RM50 sehektar mampu menaikkan semangat pesawah untuk terus mengusahakan sawah.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman yang cukup berharga ini.

“Setiap kali Belanjawan, nasib pesawah sentiasa disentuh dan diberi perhatian,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa bagi negeri Kelantan, isu sistem pengairan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) perlu turut diberi perhatian agar hasil bantuan kewangan dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti.

Dalam Belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan subsidi dan bantuan yang dijangka memberi manfaat kepada pesawah di seluruh negara dengan anggaran RM4,300 berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim.

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengumumkan subsidi dan bantuan pertanian tertinggi berjumlah RM2.62 bilion melalui Belanjawan 2026
  • Pesawah merasakan bantuan ini datang pada waktu yang tepat disebabkan kenaikan kos pengeluaran
  • Bantuan kerajaan membantu pesawah mendapatkan sedikit hasil bersih walau harga padi turun dan kos meningkat
  • Pesawah turut mencari pendapatan tambahan melalui pekerjaan sampingan seperti menoreh getah dan buat ketupat
  • Kenaikan bantuan seperti insentif pembajakan dan racun disambut baik untuk meningkatkan semangat pesawah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!