Covid-19: New York bina empat hospital sementara

New York akan membina empat hospital sementara untuk menampung keperluan merawat pesakit Covid-19. -Foto AFP
New York akan membina empat hospital sementara untuk menampung keperluan merawat pesakit Covid-19. -Foto AFP
A
A
A
NEW YORK - New York akan membina empat hospital sementara untuk menampung keperluan merawat pesakit koronavirus (Covid-19), kata Gabenor Andrew Cuomom lapor agensi berita Xinhua.

Empat tapak telah dikenal pasti iaitu Pusat Konvensyen Jacob K. Javits di Manhattan, sebuah pusat daerah di Westchester, kampus Stony Brook Universiti New York dan kampus Old Westbury.

"Kini kami hanya perlu menyelesaikannya dan melakukannya segera," katanya pada sidang media.

Pakar meramalkan kemuncak wabak Covid-19 di New York dijangka pada awal Mei, bakal Menyaksikan hospital memerlukan sebanyak 110,000 katil. Buat masa sekarang negeri ini hanya mempunyai kira-kira 53,000 katil.

Gabenor New York itu turut menggesa Presiden Donald Trump melaksanakan Akta Pengeluaran Pertahanan, untuk memberi mandat kepada syarikat swasta mengeluarkan peralatan perubatan yang penting.

"Banyak hospital di negeri ini merintih, saya telah bercakap dengan gabenor di negeri lain, mereka juga berdepan keadaan yang sama," kata Cuomo.

"Saya percaya kerajaan persekutuan harus segera menggunakan akta itu."

Terdahulu pada Ahad, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, berkata bandar raya ini mencatatkan kira-kira 9,000 kes, bekalan perubatan seperti sarung tangan, pakaian pelindung dan topeng muka, hanya mampu bertahan untuk 10 hari lagi.

Terdapat lebih 33,000 kes Covid-19 disahkan di Amerika Syarikat, kira-kira 15,000 dicatatkan di New York, menurut data Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem (CSSE) di Universiti Johns Hopkins.-Bernama
Artikel Berkaitan: