Indonesia berduka lagi

Gambar udara menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa runtuhan sekolah pondok Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur. - AFP
Gambar udara menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa runtuhan sekolah pondok Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur. - AFP
A
A
A

SIDOARJO– Tragedi runtuhan sekolah pondok di Sidoarjo, Jawa Timur yang meragut 67 nyawa minggu lalu membuka mata banyak pihak terhadap isu keselamatan bangunan pendidikan agama di Indonesia.

Bangunan berbilang tingkat itu runtuh pada 29 September ketika lebih 170 pelajar sedang menunaikan solat Asar di ruang utama sekolah berkenaan.

Kejadian berlaku secara tiba-tiba menyebabkan puluhan pelajar tertimbus di bawah runtuhan konkrit dan besi, manakala kawasan sekitar bertukar menjadi medan panik.

Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat, pihak berkuasa menamatkan usaha itu dengan jumlah korban mencecah 67 orang termasuk lapan bahagian tubuh yang tidak dapat dikenal pasti.

Anggota pasukan BASARNAS berdoa selepas majlis menandakan tamatnya operasi mencari dan pembersihan runtuhan sekolah pondok Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur. - AFP
Anggota pasukan BASARNAS berdoa selepas majlis menandakan tamatnya operasi mencari dan pembersihan runtuhan sekolah pondok Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur. - AFP

Seramai 104 pelajar terselamat dengan pelbagai tahap kecederaan, manakala 17 mayat telah dikenal pasti oleh pihak polis.

Siasatan awal mendapati bangunan sekolah tersebut menggunakan bahan binaan bermutu rendah dan tidak menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Beberapa komponen struktur seperti dinding, lantai dan sambungan konkrit dikenal pasti terlalu lemah untuk menampung beban pelajar serta peralatan di tingkat atas.

Artikel Berkaitan:

Pakar pembinaan tempatan menyimpulkan bahawa faktor utama tragedi ini berpunca daripada kelalaian manusia dalam aspek reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan bangunan.

Kontraktor dipercayai menggunakan bahan murah bagi menjimatkan kos, manakala pengawasan teknikal pula dilakukan secara sambil lewa tanpa pemeriksaan jurutera bertauliah.

Pihak polis kini sedang menyiasat sama ada berlaku unsur kecuaian dan penyelewengan semasa proses pembinaan dijalankan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) mengakui banyak sekolah pondok di Indonesia dibina tanpa kelulusan struktur atau audit keselamatan rasmi.

Mayat pelajar mangsa runtuhan sekolah pondok Al Khoziny dibawa ke Hospital Bhayangkara di Surabaya, Jawa Timur. - AFP
Mayat pelajar mangsa runtuhan sekolah pondok Al Khoziny dibawa ke Hospital Bhayangkara di Surabaya, Jawa Timur. - AFP

Tragedi seperti ini bukan perkara baharu di Indonesia kerana beberapa insiden runtuhan bangunan pendidikan pernah berlaku sebelum ini.

Pada 2014, pondok pesantren di Lombok runtuh akibat struktur lemah dan mengorbankan 14 pelajar manakala pada 2018, lima pelajar maut apabila sekolah agama di Lombok Timur roboh selepas hujan lebat.

Insiden bumbung madrasah runtuh di Tasikmalaya pada 2021 turut mencederakan pelajar dan membuktikan kelemahan serius dalam kawalan mutu binaan.

Tragedi di Sidoarjo menjadi amaran keras bahawa sikap sambil lewa terhadap piawaian keselamatan boleh menukar tempat menimba ilmu menjadi kubur buat anak bangsa. - Agensi

Ringkasan AI

  • Tragedi runtuhan sekolah pondok di Sidoarjo meragut 67 nyawa
  • Bangunan runtuh ketika pelajar menunaikan solat Asar
  • Operasi mencari dan menyelamat tamat dengan 67 korban
  • Siasatan awal mendapati bahan binaan sekolah bermutu rendah dan tidak menepati piawaian keselamatan
  • Faktor utama tragedi adalah kelalaian manusia dalam reka bentuk, pembinaan, dan penyelenggaraan bangunan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!