Tular kanak-kanak maut akibat influenza, KPWK belum dapat pengesahan

Tular satu hantaran di Facebook berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1).
Tular satu hantaran di Facebook berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1).
A
A
A

KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Jabatan Kesihatan berhubung laporan mengenai penularan Influenza A di sebuah prasekolah di Sadong Jaya sebelum mengeluarkan sebarang arahan lanjut.

Memetik laporan portal berita tempatan, Menterinya, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima, dan sebarang tindakan hanya akan diambil selepas siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan.

"Saya perlu mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kesihatan terlebih dahulu. Jika kes disahkan, mereka akan memaklumkan kepada kami dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan rasmi.

"Semua keputusan perlu dibuat berasaskan maklumat yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Senior Citizen Health Benefit anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) pada Khamis.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pengurusan prasekolah, Fatimah memberi jaminan bahawa pihaknya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi menangani situasi seumpama itu, termasuk penutupan sekolah, seperti yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 dan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Maklumat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol mengesahkan bahawa Majlis Keselamatan Negeri serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah dimaklumkan mengenai situasi berkenaan.

“Saya difahamkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan sedang menjalankan siasatan. Pada peringkat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada penularan berpunca dari prasekolah di Sadong Jaya atau tempat lain kerana perkara ini masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, saya yakin perkara ini sedang diberi perhatian serius," katanya.

Sebelum itu, tular satu hantaran di Facebook berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang didakwa meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1).

Artikel Berkaitan:

Menerusi hantaran tersebut, individu dipercayai waris meluahkan rasa sedih atas pemergian anaknya.

“Kami, waris dengan rendah hati ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan anak kami. Semoga doa itu berbalik kepada kalian semua. Namun, kita hanya mampu merancang, ketentuan ALLAH adalah mutlak.

“Pemergian anak kami disebabkan Influenza A H1N1 yang berlaku dalam masa yang singkat. Belum sempat menemui penawar, kami kehilangan cahaya mata yang tersayang. Namun itu hanyalah asbab, kerana semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz.

“Terima kasih Ya ALLAH kerana meminjamkan ‘Adek’ untuk kami sekeluarga walaupun seketika. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa, kepahitan yang terpaksa kami telan. Belum puas kami bermain dengannya, tetapi kami reda, Ya ALLAH.

“Ya ALLAH, tenangkanlah hati kami yang rindu pada anak syurga ini, dan lapangkanlah dada kami untuk menerima hakikat yang telah Engkau tetapkan.

“Pinjaman ALLAH yang terindah... Ayah, ibu, abang Eiman, mbah, dan nenek semuanya sayang Adek,” demikian menurut hantaran berkenaan yang turut disertakan dengan gambar kanak-kanak tersebut.

Ringkasan AI

  • KPWK menunggu pengesahan dari Jabatan Kesihatan tentang laporan Influenza A di prasekolah Sadong Jaya
  • Tiada tindakan akan diambil tanpa siasatan menyeluruh dan pengesahan kes oleh Jabatan Kesihatan
  • Fatimah Abdullah jamin SOP khusus ada untuk menangani situasi penularan penyakit di prasekolah
  • Majlis Keselamatan Negeri dan JPBN telah dimaklumkan tentang situasi Influenza A
  • Tular di Facebook kematian kanak-kanak akibat Influenza A, waris ucap terima kasih atas doa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!