Belanjawan 2026: KWSP hargai keputusan kerajaan lanjut pelaksanaan i-Saraan, i-Suri

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghargai keputusan kerajaan melanjutkan pelaksanaan program i-Saraan pada 2026 untuk terus menawarkan insentif padanan sebanyak 20 peratus, dihadkan kepada RM500 setahun dan RM5,000 sepanjang hayat selaras prinsip menaikkan lantai kesejahteraan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, susulan kejayaan program i-Saraan, inisiatif baharu i-Saraan Plus yang diperkenalkan khusus buat pemandu e-hailing dan p-hailing menawarkan had insentif padanan tahunan lebih tinggi iaitu RM600 dan RM6,000 sepanjang hayat.
Menurutnya, pemandu bakal didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform yang akan membantu melaksanakan potongan caruman pada kadar ditentukan pemandu sendiri di bawah skim tersebut.
Selain itu, jelas beliau, insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri juga dilanjutkan hingga 2026 bagi mengiktiraf sumbangan suri rumah terhadap pembangunan keluarga dan negara dengan kelayakan umur dinaikkan dari 55 kepada 60 tahun, selaras usia persaraan minimum negara.
"Insentif ini ditawarkan sebanyak 50 peratus dari jumlah caruman tahunan, tertakluk kepada maksimum RM300 setahun dan RM3,000 sepanjang hayat.
"Program i-Saraan dan i-Suri memainkan peranan penting dalam memperluas liputan simpanan persaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bekerja dalam sektor informal.
"KWSP terus komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan kesemua inisiatif ini terus memberi impak bermakna, seterusnya membantu lebih ramai rakyat membina pendapatan persaraan mencukupi serta menyumbang ke arah masyarakat lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai respons menyambut baik langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan, pekerja gig, e-hailing dan p-hailing akan diberi insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM 6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha terbabit dibuat bagi melengkapkan perlindungan sosial dan menggalakkan caruman KWSP.
Jelas Ahli Parlimen Tambun itu lagi, skim i-Saraan juga diteruskan untuk pekerja informal atau bekerja sendiri yang lain dengan caruman padanan sehingga RM 500 setahun atau RM5,000 seumur hidup.
Begitu juga dengan pengumuman kelayakan umur i-Suri dinaikkan kepada 60 tahun selari usia persaraan minimum buat kaum ibu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zulqarnain berpandangan beberapa langkah baharu di bawah Belanjawan 2026 akan memperkukuh kesejahteraan ahli dan memperluas peranan KWSP dalam mempertingkatkan perlindungan sosial.
Tambahnya, platform i-Lindung sedia ada akan diperluas merangkumi insurans dan takaful kesihatan bagi membolehkan ahli menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera.
"Ia bagi melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).
"Penambahbaikan ini memperluas pilihan perlindungan perubatan untuk ahli dan menggalakkan penyertaan lebih menyeluruh dalam insurans dan takaful, seterusnya memperkukuh perlindungan sosial bagi semua rakyat Malaysia," ujar beliau.
Ahmad Zulqarnain menambah, had pengeluaran di bawah Akaun Sejahtera bagi ahli yang berhasrat menunaikan ibadah Haji akan dinaikkan dari RM3,000 kepada RM10,000.
"Sebarang maklumat lanjut mengenai pelaksanaan langkah di bawah Belanjawan 2026 bakal dikongsikan pada masa akan datang," jelasnya.
Ringkasan AI
- KWSP menghargai keputusan kerajaan melanjutkan pelaksanaan program i-Saraan pada 2026 dengan insentif padanan 20 peratus
- i-Saraan Plus diperkenalkan untuk pemandu e-hailing dan p-hailing dengan insentif padanan tahunan RM600
- Insentif padanan kerajaan untuk program i-Suri dilanjutkan hingga 2026 dengan kelayakan umur dinaikkan kepada 60 tahun
- Pelaksanaan ini bertujuan memperluas liputan simpanan persaraan kepada sektor informal serta meningkatkan kesejahteraan rakyat
- Platform i-Lindung akan diperluas untuk termasuk insurans dan takaful kesihatan, dengan peningkatan had pengeluaran untuk ibadah Haji dari RM3,000 kepada RM10,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

