Belanjawan 2026: MMA kecewa kadar caj minimum konsultasi doktor masih RM10

MMA menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan kadar minimum caj konsultasi doktor am (GP) pada RM10 seperti termaktub dalam Jadual Fi MMA 1992.
MMA menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan kadar minimum caj konsultasi doktor am (GP) pada RM10 seperti termaktub dalam Jadual Fi MMA 1992.
A
A
A

PUTRAJAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan kadar minimum caj konsultasi doktor am (GP) pada RM10 seperti termaktub dalam Jadual Fi MMA 1992, walaupun semakan dilakukan selepas 17 tahun.

Presidennya, Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, keputusan itu tidak mencerminkan nilai sebenar peranan doktor am yang berkhidmat sebagai barisan hadapan sistem kesihatan negara.

Menurutnya, MMA sejak sekian lama mencadangkan kadar minimum RM50 memandangkan lebih 60 peratus pesakit mendapatkan rawatan melalui pihak ketiga (TPA) dan syarikat yang hanya membayar di bawah RM35.

“Dengan lebih 10,000 klinik di seluruh negara, kadar rendah ini boleh menjejaskan kelangsungan operasi klinik, menggalakkan amalan potong harga dan mewujudkan tekanan kewangan yang akhirnya menjadikan model sedia ada tidak mampan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan sempena Belanjawan 2026 pada Jumaat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan Madani di Dewan Rakyat memberitahu kerajaan menyemak semula kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 hingga RM80, berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Langkah itu memberi ruang lebih fleksibel sesuai dengan tahap perkhidmatan ditawarkan, sambil mengekalkan kadar minimum yang tidak membebankan rakyat.

Sementara itu, Dr Thirunavukarasu menghargai komitmen berterusan kerajaan terhadap sektor kesihatan dengan peruntukan tertinggi pernah diumumkan sebanyak RM46.5 bilion.

Katanya, langkah itu mencerminkan pengiktirafan terhadap keperluan memperkukuh sistem kesihatan selaras dengan hala tuju Kertas Putih Kesihatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, tenaga kerja serta kerjasama awam-swasta.

“MMA turut menghargai kenaikan elaun on-call yang diumumkan sebagai pengiktirafan kepada dedikasi doktor dan pakar. Namun, kami menunggu butiran lanjut pelaksanaan serta kadar sebenar kenaikan itu, khususnya bagi pegawai perubatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pewujudan 4,500 jawatan tetap untuk doktor kontrak juga disambut baik, bagaimanapun ia perlu disertai perancangan jangka panjang bagi memastikan keseimbangan tenaga kerja melibatkan bidang kritikal lain dalam sistem kesihatan.

Beliau berkata, pelaksanaan integrasi berasaskan Diagnosis Related Group (DRG) yang diumumkan kerajaan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa data kukuh, perancangan rapi serta penglibatan bermakna semua pihak berkepentingan.

“MMA berpendapat pelaksanaan DRG yang tidak dirancang dengan teliti boleh membawa kesan tidak diingini dan menjejaskan keberkesanan sistem kesihatan awam dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut memuji peruntukan bagi menaik taraf hospital dan klinik serta pembangunan kapasiti digital yang dilihat selaras dengan usaha memperkukuh infrastruktur kesihatan.

Namun, katanya, kemudahan fizikal semata-mata tidak mencukupi tanpa tenaga kerja mencukupi kerana kekurangan doktor, jururawat dan pegawai kesihatan bersekutu kekal menjadi isu paling mendesak.

“Tanpa tenaga kerja yang mencukupi, naik taraf fasiliti tidak akan memberi impak besar terhadap tekanan sistem kesihatan,” tegasnya.

Menyentuh cadangan pembiayaan kesihatan alternatif menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau berkata, MMA memandang serius perkara itu kerana ia boleh menjejaskan keselamatan persaraan rakyat.

“KWSP diwujudkan untuk menjamin masa depan pesara dan penggunaan dana itu boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan kewangan jangka panjang yang berkait rapat dengan tahap kesihatan.

“Sebab itu sebarang dasar sebegini perlu diteliti dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan kumpulan rentan,” katanya.

MMA dalam kenyataan sama turut menyokong kenaikan duti eksais terhadap tembakau dan alkohol yang diumumkan kerajaan sebagai langkah mengurangkan penyakit tidak berjangkit.

"Rokok elektronik atau vape perlu diharamkan sepenuhnya dan serta-merta berikutan kesannya yang semakin ketara terhadap kesihatan golongan muda," katanya.

Ujar Dr Thirunavukarasu, MMA komited untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan semua inisiatif Belanjawan 2026 dapat memperkukuh akses, kualiti dan kemampanan sistem kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

 

Ringkasan AI

  • Persatuan Perubatan Malaysia kecewa kerana kerajaan mengekalkan kadar minimum caj konsultasi doktor am pada RM10
  • MMA mencadangkan kadar minimum RM50 kerana lebih 60% pesakit mendapat rawatan melalui pihak ketiga yang membayar di bawah RM35
  • Keputusan mengekalkan kadar minimum RM10 boleh menjejaskan kelangsungan operasi klinik dan mewujudkan tekanan kewangan
  • Belanjawan Madani mengumumkan peningkatan kadar fi konsultasi doktor kepada antara RM10 hingga RM80
  • MMA menyokong kenaikan elaun on-call dan pembangunan infrastruktur kesihatan tetapi menekankan perlu ada tenaga kerja yang mencukupi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!