Belanjawan 2026: Malaysia peruntuk RM5.9 bilion capai status negara AI menjelang 2030

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) dengan memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta (RDCI) melalui peruntukan hampir RM5.9 bilion merentasi kementerian, dalam usaha mencapai status Negara AI menjelang tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menyalurkan hampir RM20 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta memperkukuh infrastruktur digital dan ekosistem AI negara.

“Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta, kerajaan bercadang memberi potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi perbelanjaan latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry (NAICI) yang diterajui bersama TalentCorp dan MyDigital,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keupayaan menguasai teknologi AI akan menjadi penentu utama kepada jatuh bangun ekonomi serta daya saing negara pada masa hadapan.

“Di bawah kerangka Malaysia Madani, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan AI yang seimbang, beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan bagi memastikan kemajuan teknologi tidak meninggalkan mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, Pejabat NAIO akan dipertingkatkan sebagai pusat penyelarasan dasar AI kebangsaan, manakala Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dijadikan hab pembangunan tenaga pakar dalam bidang tersebut.

Selain UTM, universiti lain turut diperkasa dalam bidang kritikal seperti semikonduktor di Universiti Sains Malaysia (USM), perubatan di Universiti Malaya (UM), kriptologi di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan teknologi maklumat di Universiti Multimedia (MMU).

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia telah mencatat kejayaan penting dengan pelancaran Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU), model bahasa AI pertama negara hasil kerjasama Universiti Malaya dan YTL AI Labs.

Beliau turut mengumumkan pelaburan besar dalam sektor AI dan pusat data oleh syarikat gergasi dunia termasuk Microsoft, Google dan Amazon Web Services (AWS).

Artikel Berkaitan:

“Microsoft melabur sebanyak AS$2.2 bilion untuk membangunkan Wilayah Awan Malaysia Barat, manakala Google melabur AS$2 bilion bagi membina pusat data dan wilayah Google Cloud baharu di Selangor,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Microsoft akan melatih 800,000 rakyat menerusi program AI for Malaysia’s Future serta menubuhkan Pusat Inovasi AI Kebangsaan Microsoft. Sementara itu, Google pula menganjurkan AI@Work 2.0 untuk penjawat awam, manakala AWS menyokong pendigitalan PKS melalui teknologi pembelajaran mesin dan analitik data raya.

Bagi memperkukuh infrastruktur digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina Sovereign AI Cloud dengan pelaburan RM2 bilion sebagai platform berdaulat untuk melindungi data strategik negara.

Selain itu, SKMM turut akan menubuhkan AI Transformation Centre dengan kerjasama MMU dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies bagi membangunkan penyelidikan dan inovasi AI yang sensitif terhadap budaya tempatan.

Kerajaan juga memperuntukkan RM53 juta melalui Geran Pecutan Digital Malaysia bagi mempercepat penerimagunaan teknologi baharu seperti blockchain, AI dan perkomputeran kuantum, di samping membolehkan MIMOS membangunkan sistem pengesanan deepfake serta teknologi rantaian blok tempatan.

Anwar berkata, bagi memupuk minat sains dan teknologi dalam kalangan belia, RM15 juta turut diperuntukkan bagi program seperti Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, Rehlah Sains dan Science on Wheels.

“Melalui usaha bersepadu ini, Malaysia bukan sahaja bersedia menjadi peneraju AI di rantau ini, tetapi juga memastikan setiap rakyat mampu menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan beretika,” katanya.

Ringkasan AI

  • Malaysia komited untuk menjadi Negara AI menjelang tahun 2030 dengan peruntukan hampir RM5.9 bilion
  • Kerajaan salurkan hampir RM20 juta kepada NAIO untuk membangunkan bakat AI dan memperkukuh infrastruktur digital
  • Potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus untuk PMKS dalam perbelanjaan latihan AI dan keselamatan siber
  • Pelaburan besar oleh syarikat global seperti Microsoft, Google, dan Amazon Web Services dalam sektor AI dan pusat data
  • Membangunkan infrastruktur digital melalui Sovereign AI Cloud dan AI Transformation Centre dengan pelaburan RM2 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!