Belanjawan 2026: RM5.19 bilion demi akses tenaga dan air bersih, selamat

SHAH ALAM - Belanjawan 2026 memperuntukkan RM5.19 bilion bagi sektor tenaga dan air, merangkumi RM392.74 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Belanjawan 2026 yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kemampanan sumber tenaga serta air menggambarkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina daya tahan ekonomi serta kesejahteraan rakyat jangka panjang.
Menurutnya, ia sejajar dengan misi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memastikan akses tenaga dan air yang bersih, selamat serta mampu milik bagi semua rakyat Malaysia, di samping memelihara sumber semula jadi dan alam sekitar.
"Antara inisiatif utama sektor tenaga dan air PETRA memberi tumpuan kepada bekalan air bersih, pengurusan sungai dan mitigasi banjir, melalui Program Pemuliharaan Sungai dan Sistem Saliran iaitu untuk mengurangkan risiko banjir dan melindungi infrastruktur awam berjumlah RM2.2 billion menerusi 43 projek tebatan banjir dan 12 projek baharu.
"Selain itu melalui Program MASMA (Memperbaiki, Mengindah, Membersih danMerawat Air Sungai dan Infrastruktur) dengan peruntukan RM292 juta bagi pemuliharaan sungai dan sistem pengurusan air yang lebih mampan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri PETRA berkata, dalam usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, PETRA akan melaksanakan pelbagai program strategik termasuk Program Bijak Tenaga MADANI (NEEAP 2.0) iaitu Pelaksanaan menyeluruh kecekapan tenaga di sektor domestik, industri dan komersil, selaras dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga2024 berjumlah RM20 juta.
Katanya, turut dilaksanakan, Program Pembangunan Tenaga Nuklear (MyPOWER): Kesiapsiagaan infrastruktur dan tadbir urus tenaga nuklear mengikut piawaian International Atomic Energy Agency (IAEA) berjumlah RM28.6 juta.
"Selain itu, Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Sabah dan Labuan, termasuk subsidi tarif, subsidi bahan api dan projek Southern Link (TPSL) bernilai RM1.9 bilion bagi memperkukuh grid penghantaran elektrik di Sabah.
"Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menetapkan sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050. NETR ini terus dipacu pemain industri dengan sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara RM150 juta.
"Projek penjanaan solar berskala besar dilaksanakan dengan kapasiti hampir 2 gigawatt di bawah program LSS 6 melibatkan anggaran pelaburan swasta RM6 bilion," ujar beliau.
Dalam pada itu, tambah beliau, menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan Madani juga memberi penekanan besar terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui pelaburan strategik dalam tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sabah menerima RM6.9 bilion manakala Sarawak menerima RM6 bilion, kedua-dua peruntukan adalah yang tertinggi dalam sejarah.
"Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak telah ditingkatkan melalui peruntukan kali ini iaitu dengan jumlah RM600 juta," katanya.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 memperuntukkan RM5.19 bilion untuk sektor tenaga dan air
- PETRA bertujuan memastikan akses tenaga dan air yang bersih, selamat, dan mampu milik serta memelihara alam sekitar
- Program utama termasuk Program Pemuliharaan Sungai dan Sistem Saliran dengan peruntukan RM2.2 bilion untuk mengurangkan risiko banjir
- Pelaksanaan menyeluruh kecekapan tenaga di bawah Program Bijak Tenaga MADANI melibatkan RM20 juta
- Peningkatan pembangunan Sabah dan Sarawak melalui Belanjawan 2026 dengan peruntukan tertinggi sejarah, RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
