Belanjawan 2026: Pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar IPTA keluarga miskin

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin, berpendapatan RM2,705 dan ke bawah yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) bermula tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM120 juta setahun disediakan dalam Belanjawan 2026 untuk melaksanakan insentif tersebut.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah.
"Ini memanfaatkan sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.
"PTPTN lahir daripada iltizam mengeluarkan anak bangsa daripada kancah kemiskinan melalui pendidikan.
"Sejak penubuhan, PTPTN telah membuka jalan kepada jutaan mahasiswa menjejak kaki ke menara ilmu dan mengubah nasib keluarga," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik.
Belanjawan 2026 akan menyaksikan pengembangan dalam perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Ia meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ringkasan AI
- Kerajaan mengumumkan pendidikan percuma PTPTN untuk 5,800 anak keluarga miskin di IPTA bermula tahun depan
- Peruntukan RM120 juta setahun disediakan untuk melaksanakan inisiatif pendidikan percuma ini
- Bayaran balik PTPTN dikecualikan bagi mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dari keluarga pendapatan rendah dan menengah
- Kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam PTPTN yang mampu membayar tetapi tidak melakukan pembayaran balik
- Belanjawan 2026 mencadangkan pengembangan perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
